Malaysia Dateline

Hubungan Melayu-Cina saling bergantungan sejak dahulu

Dulu, di bumi kelahiran saya, Kampung Sungai Daun Tengah, Yan, sebuah perkampungan Melayu, ada seorang taukeh Cina yang orang kampung panggil Cina Teko. Kata Pak Teh Aris Awang, Teko asalnya Taiko.

Dia kaya. Rumahnya batu, dua tingkat. Halaman rumahnya simen. Ada rumah tokong besar di situ. Ada dua tiga biji lori diletak. Pada era agak moden, mesin menuai padi juga ada.

Hampir semua orang kampung mencarinya ketika musim perayaan, musim sekolah buka, ada kematian, ada kenduri kahwin, ada majlis berkhatan bahkan musim durian juga.

Cina Teko-lah tempat orang kampung meminjam duit untuk baiki basikal rosak atau tukar atap rumah yang bocor. Nak bayar duit bidan beranak juga orang kampung cari Cina Teko.

Cina Teko pandai ambil hati orang kampung. Musim raya Cina, rumah orang kampung dihantarinya kuih bakul. Keluarga saya tak pernah ketinggalan. Makan kuih bakul setahun sekali ibarat makan durian, juga setahun sekali.

Sampai musim menuai padi, semua hasil dijual kepada Cina Teko. Setelah ditolak hutang pokok dicampur bunga sana-sini, bakinya menjadi milik petani. Ada yang belum sempat keluar pagar rumah Cina Teko, buku hutangnya sudah dibuka semula.

Begitulah kitaran hidup dalam hubungan Cina – Melayu pada ketika itu. Cina taukeh pemberi hutang, Melayu petani pemilik tanah. Bagi Melayu malas, tanah bendang pusaka sekangkang kera, disewa atau dipajak terus kepada Cina Teko.

Nak marah Cina, silakan. Nak kata Melayu malas, silakan. Realitinya, Melayu – Cina hanya sekadar perbezaan bangsa. Perbezaan itu mencetuskan kelas ekonomi yang menjadikan kedua-dua belah pihak saling bergantungan.

Cina tak jadi taukeh kalau tak ada Melayu dan Melayu tak ada tempat jual padi kalau tak ada Cina. Walau apa pun tafsiran dan persepsinya, Melayu – Cina saling perlu memerlukan antara satu sama lain, sekurang-kurangnya pada waktu itu.

Hanya politikus bodoh zaman ini saja yang bermain dengan sentimen Melayu Islam – Cina kafir. Dalam politik, sentimen bangsa – agama ditiup. Masuk musim perayaan buat poster ucap selamat tahun baru Cina. Siap pakai baju merah lagi.

Tidakkah hipokrit namanya itu?