Hubungan Moscow-KL semakin kukuh selepas lawatan Mahathir

Hubungan Moscow-KL semakin kukuh selepas lawatan Mahathir

Perdana Meneri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan lawatan kerja beliau untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur Ke-5 (EEF) di sini sebagai amat berhasil, dengan komitmen untuk menjalin kerjasama lebih rapat dengan negara yang terletak di Timur Jauh, terutamanya Rusia.

Dr Mahathir menghargai sambutan dan hospitaliti mesra diberikan kepadanya oleh kerajaan Rusia dan penganjur acara, Roscongress.

Lawatan beliau ke bandaraya pelabuhan di Timur Jauh, Rusia itu atas undangan Presiden Rusia Vladimir Putin untuk menyertai forum itu yang membincangkan kerjasama baharu dan potensi ekonomi di Timur Jauh.

Dr Mahathir yang menyertai forum itu buat julung kalinya berkata, beliau gembira dan kagum dengan inisistif diambil oleh Putin untuk membangunkan wilayah di timur Rusia.

Perdana Menteri berusia 94 tahun itu yang tiba di sini pada Rabu telah diberikan sambutan mesra pada sesi itu, dengan peserta EEF secara spontan memberikan tepukan gemuruh apabila beliau berjalan masuk ke pentas untuk menyampaikan ucapan.

Pada sesi pleno, acara utama forum itu, Dr Mahathir menyatakan bahawa Malaysia selama ini beranggapan bahawa Rusia tidak memberikan perhatian secukupnya kepada wilayahnya di Timur Jauh.

“Tetapi kini kami melihat bahawa minat itu adalah jelas dan kepada kami, ini mungkin bermakna membuka pasaran baharu untuk Malaysia,” katanya.

Dengan penyertaan Rusia dalam pembangunan Timur Jauh, beliau percaya penduduk yang tinggal di Timur Jauh khususnya dan Asia amnya, akan mendapat manfaat daripada aktiviti pembangunan itu.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa pelabur Malaysia akan ke Vladivostok sekiranya situasi ekonomi di wilayah itu cukup menarik.

Terletak di sempadan Rusia dengan China dan Korea Utara, Vladivostok ialah sebuah bandaraya yang sedang pesat membangun dengan pusat pentadbirannya terletak di Primorsky Krai di bawah Daerah Persekutuan Timur Jauh.

Difahamkan Putin telah menetapkan pembangunan Timur Jauh sebagai keutamaan negara pada sepanjang abad ke-21.

Kremlin sedang membangunkan ekonomi baharu secara menyeluruh di rantau itu dengan syarikat besar, serta perniagaan saiz kecil dan sederhana, boleh menjangkakan pelepasan cukai, pinjaman konsesi dan sokongan daripada pelbagai institusi pembangunan negara.

Mengulas lanjut tentang hubungan dua hala antara kedua-dua negara, Dr Mahathir berkata hubungan antara Malaysia dan Rusia sentiasa baik, dan menurutnya banyak bidang yang kedua-dua negara boleh kaji bersama.

“Saya boleh nampak bahawa hubungan rapat ini akan memberi manfaat,” katanya.

Lawatan itu dilihat telah mengukuhkan lagi hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Moscow, berdasarkan hubungan erat dipamerkan Dr Mahathir dan Putin sepanjang lawatan beliau ke Timur Jauh, Rusia.

Dari segi ekonomi, terdapat tanda-tanda jelas bahawa Timur Jauh mempunyai banyak potensi perniagaan yang menawarkan peluang besar untuk diterokai syarikat Malaysia.– BERNAMA