Malaysia Dateline

Hubungan Pas Umno semakin genting, 3 negeri Pas tidak akan bubar jika PRU tahun ini

Hubungan antara Pas dengan Umno semakin genting apabila menolak cadangan parti itu untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) tahun ini dengan mengarahkan tiga negeri di bawahnya tidak membubarkan Dewan Negeri masing-masing.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan tiga negeri yang diperintah oleh Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing jika PRU diadakan tahun ini.

Ketetapan Pas itu menyusul selepas negeri dikuasai Pakatan Harapan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang membuat keputusan sama, semalam.

Ini bertentangan dengan keputusan Umno menekan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub agar Parlimen dibubarkan segera untuk diadakan PRU-15.

Keputusan Pas ini dipercayai mempunyai kaitan dengan perbincangan yang dibuat di belakang tabir antara Umno, Pas dan Bersatu sekarang. Sebelum ini, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya berkata, Pas menolak cadangan untuk PRU diadakan pada tahun ini kerana musim banjir.

Keputusan Pas dipercayai ada kaitan dengan perbincangan dan syarat-syarat yang diberikan oleh Umno kepada Pas jika mahu bekerjasama iaitu memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Sekiranya Parlimen dibubarkan pada waktu ini, tiga negeri bawah pimpinan Pas, Kelantan, Terengganu dan Kedah, tidak akan dibubarkan.

“Yang saya difahamkan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga tidak akan turut bubar,” kata Tuan Ibrahim dalam ucapan semasa Majlis penyerahan Watikah Ketua Bahagian Perikatan Nasional (PN) di Shah Alam, malam tadi.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan semua ketua bahagian PN untuk bersiap sedia menghadapi dua pilihan raya iaitu DUN dan Parlimen.

“Bermakna Selangor ada dua kali peperangan yang tuan-tuan kena sedia bagi menawan. Pertama kita tawan Parlimen, yang kedua kita tawan negeri Selangor,” katanya.

Semalam, Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan ketiga-tiga negeri di bawah Pakatan Harapan tidak akan membubarkan DUN masing-masing jika Parlimen dibubarkan pada musim banjir.

Ia bertujuan untuk membolehkan semua jentera kerajaan ditumpukan untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir.