Malaysia Dateline

logo Pakatan Harapan

Hubungan rapuh komponen PH akan menguntungkan BN-Pas di Bagan

Hubungan yang rapuh antara komponen dalam Pakatan Harapan (PH) akan menguntungkan pembangkang khususnya BN dan Pas.

Oleh kerana itu kerapuhan yang begitu ketara tidak harus dibiarkan kerana ia mampu menghilangkan keyakinan rakyat dan pengundi.

Demikian dizahirkan oleh Timbalan Ketua AMANAH kawasan Bagan, Mohd Naqi Mat Ali.

Jelas beliau lagi, hubungan perpaduan antara komponen khususnya dalam kawasan Parlimen Bagan tidak sehaluan serta tidak mempunyai kerjasama dalam membantu hasrat rakyat.

“Sebagai contoh dalam Parlimen Bagan hak dan kepentingan komponen termasuklah AMANAH kurang diberi perhatian walaupun pembelaan bagi mereka yang memerlukan masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

“Kita tidak mahu apabila Adun atau Ahli Parlimen ditekan dan diasak hasil kepincangan mereka terhadap masyarakat yang diwakili, barulah mereka seolah-olah cuba mengatasi kekurangan tersebut dengan memanggil komponen PH untuk berbincang.

“Amalan buruk ini telah diamalkan sejak Pakatan Rakyat berkuasa di Pulau Pinang sehinggalah kini ianya ditadbir oleh PH, ” jelas beliau.

Malah katanya, bukti jelas ialah dalam pembahagian kerusi lantikan politik seperti MPKK yang tidak telus dan tidak adil.

“Wakil rakyat yang dilantik sebagai exco kerajaan negeri sepatutnya tidak angkuh sehinggakan enggan menemui pimpinan AMANAH kawasan Bagan walaupun untuk menyelesaikan masalah masyarakat bawahan yang memerlukan.

Mohd Naqi Mat Ali

“Penambahan kerusi MPKK yang ditambah haruslah adil termasuklah kepada AMANAH kawasan Bagan dan bukannya hanya dibolot oleh sebuah parti sahaja.

“Semangat kerjasama antara komponen sehingga memenangkan PH tidak harus dipandang remeh kerana ia menjadi tunjang kepada kemenangan yang diperolehi dalam pilihan raya umum yang lalu, ” ujarnya.

Menurut Mohd Naqi lagi, sikap individualistik dan enggan menemui komponen yang lain oleh wakil rakyat dan exco sedia ada mesti dibuang dan tidak menjadi amalan.

“Masalah kemiskinan dan kedaifan masyarakat Melayu khususnya dalam kawasan Parlimen Bagan bukan suatu omongan kosong dan harus diberi perhatian oleh Adun dan juga Ahli Parlimen.

“Seharusnya pimpinan setiap komponen PH berjumpa dan saling mendengar luahan yang hendak disampaikan bagi mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

“Sekiranya masalah ini pun sukar untuk diselesaikan, kemungkinan besar ia akan memberi impak yang amat buruk kepada PH khususnya di kawasan Parlimen Bagan, ” tambah beliau lagi.

Sejajar dengan itu katanya, AMANAH kawasan Bagan menasihatkan komponen PH yang ada supaya tidak memandang remeh dan enteng gabungan Pas dan Umno yang kini sedang hangat diperkatakan.

Katanya lagi, kemenangan yang telah dicapai dalam pilihan raya umum yang lalu harus dihargai kerana ia adalah atas kerjasama semua komponen dan bukannya atas kekuatan sebuah parti sahaja.