Hudud: Akhirnya Pas tunduk dengan kehendak rakyat

Hudud: Akhirnya Pas tunduk dengan kehendak rakyat

Saya sengaja tidak mahu memberi komentar segera sejurus selepas pembentukan Blok ketiga Pas-Ikatan semalam (16.03.2016) untuk mengelak daripada tersilap mengambil berita daripada sumber-sumber yang dianggap separuh masak.

Saya cuba untuk “observe” walaupun di media sosial sudah viral mengenai pendirian Presiden Pas dan Ikatan ataupun blok ketiga berkaitan perlaksanaan hudud di Malaysia.

Saya Tabayyun semua sumber dan maklumat yang ada di sekeliling termasuk dari laporan media, kenyataan media dan laman rasmi Pas sendiri.

Daripada semua sumber berikut, maka saya memilih (1) kenyataan media Syaiful Hizam, Pengarah Media Baru Jabatan Penerangan Pas Pusat, sidang media (2) Presiden Pas dan (3) Ikatan, penjelasan (4) Ketua Dewan Ulama Pas dan (5) Ketua Penerangan Pas Pusat sebagai sandaran kerana ianya adalah sumber primer daripada mereka sendiri.

Maka kesimpulan daripada kelima-lima sumber yang saya rujuk di atas, Pas dan Blok Ke-3 berpendirian bahawa perlaksanaan Hudud boleh dikemudiankan dan/atau ditangguhkan dan/atau dilaksanakan secara beransur-ansur mengikut lunas demokrasi dan kehendak rakyat.

Apabila ditanya oleh wartawan mengenai agenda utama Pas contoh,  Hudud selepas pembentukan Blok Ke-3 semalam, Presiden Pas menegaskan bahawa Pas akan “Lebih” menumpukan kepada agenda ‘Umum’ iaitu memperkasakan Perlembagaan yang ada pada hari ini.

Kalau inilah pendirian Pas, maka inilah juga sebenarnya pendirian bekas pimpinan Pas yang kini menubuhkan Amanah.

Mereka tidak pernah menolak hudud. Mereka hanya berpandangan agar Pas menumpukan kepada agenda umum yang dipersetujui bersama dalam Pakatan Rakyat seperti isu rasuah, salahguna kuasa, ekonomi dan kemiskinan.

Tetapi hari ini Pas terpaksa menerima pakai pendirian yang dipegang oleh pimpinan Amanah mengenai hudud kerana mungkin mereka baru tersedar dari tidur bahawa realiti di Malaysia, banyak lagi keutamaan yang harus diperjuangkan daripada hanya menumpukan kepada perlaksanaan hudud semata-mata.

Kalau sebelum ini pimpinan Pas dilihat seolah-olah menafikan kuasa rakyat dan peranan Perlembagaan apabila dengan egonya bercakap bahawa apa gunanya kemenangan di Putrajaya kalau tidak mendapat redha Allah, tetapi hari ini Pas terpaksa akur apabila Presiden Ikatan  sendiri berkata semalam bahawa perlaksanaan hudud kita serahkan kepada kehendak rakyat.

*Mohd Fitri Asmuni adalah Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak.

CATEGORIES