Hudud atau pemerkasaan Mahkamah Syariah?

Hudud atau pemerkasaan Mahkamah Syariah?

Adakah   Hudud "talian hayat" kerajaan PH dan BN?

Dalam disiplin pengurusan, proses membuat keputusan adalah sama  penting dengan keputusan yang kita ingin capai. Ia bukan sekadar  memperkukuhkan keputusan sebagai natijah hujungnya tetapi proses juga  memantulkan nilai inklusiviti, bertanggungjawab dan nilai kesemuaan  pertimbangan dan perkiraan untuk tujuan diaudit oleh para pengkritik  dan tujuan mempertahankan hujah kenapa sesuatu keputusan diambil.

Prinsip pengurusan di atas tidak terkecuali dalam semua bidang  kehidupan termasuk menguruskan soal-soal pemerintahan. Syariah sebagai  asas pembangunan negara dalam menentukan dasar dan perundangan tidak terlepas dari aspek pengurusan dan pentadbiran, malah premis Fiqah telah teranjak dari sekadar fatwa agama kepada memahami Usul sesuatu fatwa agar dapat diperluaskan skopnya sebagai Qiyas kepada hukum yang  sedia ada.

Namun ia tidak berhenti sekadar itu, perkembangan semasa telah menganjak Fiqah dan Usul kepada satu level proses berfikir dalam membuat keputusan disandarkan kepada mencapai maksud dan tujuan nilai-nilai Syariah yang lebih besar dan utama iaitu Maqasid al-
Shariah.

Ringkasnya hukum-hakam yang hendak dipraktikkan dalam polisi dan perundangan negara perlu mengambil kira Waqie atau realitas daerah  perlaksanaan. Kedua, Kesan atau Maalatul Afa’l sama ada tercapai tujuan utama seperti keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan dan akhirnya ialah keputusan yang berpandukan keutamaan atau keseimbangan daripada semua kemasukan (in-puts) semasa proses memahami realitas dan kesan dibuat perkiraan. Imam Al-Syatibi Al-Gharnaqi telahpun menghuraikan proses berfikir di atas dalam kitabnya Muwafaqat dengan memberikan sesuatu nas hukum dengan spektrum yang lebih luas ke atas
Al-Mahkum Alaihi (objek atau daerah hukum itu hendak dipraktikkan).

Pertimbangan paling utama semasa proses membuat keputusan dibuat ialah bagi mencapai Maslahah A’ammah (Manfaat Umum) di penghujungnya dan bukan untuk Maslahah (boleh juga dibaca Muslihat atau Kepentingan) kelompok ataupun agenda sempit. Gangguan kepentingan tersendiri apatah lagi untuk tujuan jangka pendek adalah penyebab utama sesuatu keputusan itu dianggap terburu-buru, tidak konsisten dan boleh diragui.

Pemikiran Maqasidi di atas amat penting dalam memahami usul rang undang-undang persendirian yang dibuat oleh Ahli Parlimen Marang pada hari terakhir sesi Parlimen pada bulan Mei 2016 yang lalu. Ia berkenaan pindaan yang dicadangkan untuk akta 355 dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Khusus untuk seksyen 2, Marang secara umum mahukan syarat keterbatasan kuasa mengenakan hukuman dalam Mahkamah Syariah (3 tahun penjara, 5 ribu denda dan 6 kali sebatan) diperluaskan kepada “mengikut hukuman yang ditetapkan oleh undang-undang syariah Islam…tidak membawa kepada hukuman mati”.

Meneliti secara substantif usul tersebut, kita tidak terelak dari cuba memahami dua persepsi, iaitu, adakah ini muqaddimah kepada perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang didakwa sebagai Hudud oleh pemimpin Pas? Atau ia pemerkasaan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang didakwa oleh pemimpin Umno?

Kekeliruan ini pada awalnya telah menjejas syarat pertama proses membuat keputusan iaitu Kejelasan atau Clarity.

Jika ianya untuk Kelantan bawah pentadbiran Pas untuk laksanakan EKJS (didakwa hudud) usul ini masih lagi belum memenuhi kerana Sariqah (jenayah curi), Qatl (jenayah bunuh), Riddah (murtad) masih lagi terbatas memandangkan kesalahan tersebut diperuntukkan dalam Kanun Jenayah di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Dalam hal ini hanya Kelantan yang berbeza secara konsepnya dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri. Selain Kelantan, senarai kesalahan Jenayah tidak
mengikuti format Hudud sesuai dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah). Dengan kata lain jika diluluskan usul ini setelah dibahas, Kelantan hanya dapat melaksanakan peningkatan hukuman sebat sahaja mengikut kesalahan dalam hudud dan tidak pada lainnya.

Jika usul ini adalah untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dari sudut bidang kuasa, negeri lain bawah Barisan Nasional dan Pakatan Harapan belum lagi membuat pindaan malah mahukah mereka berbuat demikian?

Apakah political will melaksanakan semangat pindaan pada negeri-negeri lain (jika diluluskan) sama dengan kerajaan negeri Kelantan yang mendakwa hudud adalah talian hayat mereka kepada pengundi? Adakah Hudud “talian hayat” kerajaan PH dan BN?

Jika jawapannya tidak, mengapa dan apakah tujuan usul ini diberi ruang oleh Kerajaan BN untuk Marang yang merupakan Presiden Pas? Adakah untuk selamatkan hanya Kelantan bawah Pas sebagai tali-hayat atau mereka BN dan Pas telah memikirkan ia kepentingan negara dalam mencapai Maslahah Umum? Atau usul Marang sebagai konsesi hubungan baik Pas-Umno selama Pas ‘bercerai’ dengan Pakatan? Adakah perkiraan ini cara memproses keputusan dalam usul Marang?

Jangan mudah memperkatakan ini soal agama lalu segala perkiraan lain dikesampingkan, malah saya mengatakan kerana ia soal menyinggung agama Islam, proses membuat keputusan itu sewajarnya lebih menyeluruh, dirundingkan secara awam bahkan perlu mengambil kira realitas dan kesannya agar tidak dituduh atas nama Islam, keadilan dalam proses melaksanakannya tidak diambil kira faktor menyeluruh tetapi ada tujuan politik sempit yang tersirat.

Realitas perundangan dan kerangka negara serta masyarakat kompleks hari ini di Malaysia perlu diletakkan spektrum yang luas dalam melaksanakan perundangan jenayah Islam khusus yang disebut dalam Nas dan dalil. Satu lagi realitas ialah kefahaman kita umat Islam sendiri terhadap apa yang kita fahami dari tuntutan Syariah dan Maqasid (tujuan utama) yang hendak dicapai.

Jikalau Syariah sebagai segmen hudud semata dan dijadikan pula sebagai manifesto politik untuk kekal berkuasa ia akan terdedah kepada manipulasi dan eksploitasi sentimen agama mencapai maksud politik. Ini adalah ketidakadilan kepada tujuan Syariah didatangkan menjangkau sekadar alat politik.

Lebih bahaya ialah realitas bahawa isu hudud atau pemerkasaan mahkamah syariah menjadi ‘pertaruhan’ kepada perkiraan politik sebagai strategi rundingan dan asas survival parti-parti politik tertentu lantas menggadaikan Maslahah Umum yang atas premisnya terletak keputusan yang tuntas dan menyeluruh bagi kepentingan semua. Dos berlebihan pada perkiraan survival politik akan mengalihkan tumpuan utama kepada masalah negara, korupsi, kezaliman undang-undang yang juga merupakan tuntutan penting dalam membuat perkiraan undang-undang jenayah Islam.

Ia bukan semudah mengatakan hal ini hanya untuk orang Islam sedangkan realitas Syariah dan perundangannya dalam konteks proses demokrasi berparlimen diwakili oleh Islam dan bukan Islam yang ada kepentingan dalam menerima atau menolaknya. Perbahasan nanti bukan soal tolak pemerkasaan mahkamah syariah atau muqadimah hudud bagi sesetengah pihak tetapi ia persoalan realitas kerangka yang mengizinkan aspek memperundangkannya dibahas dan diperinci dari sudut kerangka negara berperlembagaan yang kita namakan Malaysia. Jadi amaran seperti “bukan Islam jangan campur tangan” atau “bukan Islam tidak boleh menentukan hal umat Islam” tidak konsisten dengan kenyataan bahawa Parlimen adalah tempat berbahas secara demokratik dan semua pihak berhak mengambil bahagian.

Sama juga kenyataan bersentimen seperti “tolak usul Marang adalah tolak hudud atau tolak pemerkasaan mahkamah syariah”. Ini kenyataan tidak bertanggungjawab kerana tiada siapa yang menentang Syariah mahupun Islam tetapi memperundangkannya adalah isu berlainan dari sudut pentadbiran, pengurusan dan soal perundangan negara. Janganlah mengheret agama dalam soal mengurus dan mentadbir urusan agama ia dua perkara yang berbeza, mengkritik pentadbiran agama tidak sama dengan mengritik prinsip ajaran agama!

Perbahasan RUU Persendirian Marang menarik untuk dibahaskan oleh semua ahli Parlimen dalam suasana ia dilontarkan dalam gelanggang demokrasi jika dibenarkan perbahasan ke atasnya dalam sesi pembentangan bajet pada Oktober depan (2016). Marilah kita fokus kepada isu substantif akta 355 yang ada kaitan dengan keabsahannya dalam Perlembagaan Persekutuan. Marang hanya meneruskan usaha pindaan sebelum ini dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah 1984,1989 dan 1997.

Ia bukan hudud tetapi pentadbiran dalam memperundangkan Kesalahan Jenayah Syariah yang tersedia ada dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri. Marang perlu jelas dan jujur dalam hal ini untuk menjelaskannya kepada ahli Pas dan seluruh rakyat Malaysia bahawa usulnya hanya melihat dalam kerangka perundangan yang ada untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Ahli Parlimen Marang selaku Presiden Pas yang mana Muryidul ‘Amnya sinonim dengan tagline “Hudud adalah nyawa Pas” tidak perlu mempolitikkan hudud untuk survival partinya begitu juga Umno perlu jujur jangan gunakan peluang ini untuk melakukan aksi selamatkan diri dari palitan rasuah bawah pimpinan Perdana Menteri Najib kerana akhirnya nama Islam akan menjadi buruk di mata penganutnya dan bukan Islam. Islam dan Syariah menjangkau semua perkiraan politik, menjadi tanggungjawab ahli politik memelihara nilai-nilai keadilan, kemanusian dan hak yang diperuntukkan sebelum mempolitikkan isu syariah untuk
manifesto politik masing-masing.

 

TAGS