Malaysia Dateline

Hujah pemuda kenapa Umno tidak boleh kerjasama dengan Bersatu

Umno tidak boleh bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum akan datang kerana agenda utama Bersatu adalah untuk menggantikan Barisan Nasional (BN), kata ahli sayap Pemuda dan pemimpin akar umbi, lapor The Malaysian Insight.

“Bersatu tak tunaikan janji,” kata Ketua Pemuda Lembah Pantai, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin kepada The Malaysian Insight di luar Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di PWTC, semalam.

“Mereka berjanji untuk buat pilihan raya umum tapi kemudian umumkan darurat,” kata Muqharabbin.

Beliau turut kesal dengan cara Bersatu merekrut anggota baru.

“Tidak mengapa mereka merekrut ahli daripada PKR atau Amanah tetapi mereka tidak boleh merekrut ahli daripada Umno.

“Mereka usik ketua cawangan kami dan juga beberapa akar umbi kami.”

Beliau menegur bagaimana Ahli Majlis tertinggi Bersatu, Mohamed Azmin Ali secara terbuka berkata parti itu ingin menggantikan Umno.

“Kalau begitu, kenapa kita kena sokong Bersatu?” Muqharabbin bertanya kepada laman itu.

Beliau yang berusia 39 tahun itu berkata Umno bersedia membantu Bersatu jika parti itu mahu menang kerusi baharu.

“Tetapi bukan dengan mengorbankan Umno atau jika mereka cuba mengambil tempat kita,” kata pemimpin muda Umno itu.

Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah menyokong langkah Bersatu melancarkan rampasan kuasa Parlimen yang menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.