Hujan bantu redakan jerebu di beberapa kawasan

Hujan bantu redakan jerebu di beberapa kawasan

Hujan lebat yang bermula pukul 7 pagi tadi menambah baik kualiti udara di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan yang mencatatkan sedikit penurunan setakat pukul 10 pagi.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, Nilai merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 115 berbanding 123 pada pukul 6 pagi tadi, manakala Shah Alam dan Putrajaya mencatatkan penurunan kepada 104 dan 101.

Kualiti udara di Banting meningkat daripada bacaan tidak sihat kepada sederhana 100, manakala Petaling Jaya dan Pelabuhan Klang merekodkan bacaan masing-masing 93 dan 85.

Batu Muda dan Cheras mencatatkan bacaan IPU 96 dan 93 manakala Seremban dan Port Dickson merekodkan bacaan IPU 60 dan 59.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, bahaya.