Hujan batu landa Kuala Lumpur

Hujan batu landa Kuala Lumpur

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Hujan batu yang jarang berlaku serta banjir kilat melanda beberapa kawasan di ibu negara petang tadi.

Kejadian kira-kira 6 petang itu dilaporkan menyebabkan trafik sesak selain beberapa bangunan dan rumah kediaman di ibu negara mengalami kerosakan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut melaporkan menerima aduan sebanyak 35 kes pokok tumbang di sekitar ibu kota.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Mustafa Mohd Nor berkata skuad penyelamat dan tren tunda telah dikerah bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

Selain itu beberapa jalan utama iaitu Jalan Duta, Jalan Bangsar, Jalan Pantai Baru dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 arah Tasik Bandar Selatan, Jalan Genting Klang dan Taman Melati, Gombak turut dilapor terjejas.

Menurutnya seramai 82 anggota pasukan Skuad Penyelamat DBKL telah dikerah ke semua lokasi tumpuan yang terjejas akibat banjir kilat.

“Daripada jumlah itu, 50 petugas trafik diarah mengawal keadaan trafik, 20 lagi menyelamat mangsa yang terkandas manakala 12 ditugas mengendali kren tunda,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata terdapat kejadian tiang elektrik tumbang di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke Bukit Jalil sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kerja-kerja mengalihkan tiang itu sedang dijalankan selain kawalan trafik dilakukan pihak polis.

Sementara itu warga ibu kota yang kebanyakannya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah turut berkongsi pengalaman masing-masing dan gambar kejadian melalui media sosial.

Pengguna Twitter, ‘faiqrusyaidie’ menulis ‘first time ever experiencing hujan batu…’.

Seorang lagi pengguna Twitter, ‘dayahmayah’ turut berkongsi gambar dengan menulis, ‘MashaAllah. hujan batu at my sister’s office. Area Sg Besi. Praying and hoping that everyone’s fine,’.

‘First hujan batu experience ever. Literally soaked for almost 20 minutes,’, tulis pengguna Twitter ‘FazaaMohamad’.

Pengguna Facebook ‘Shahriza Mahmud’, dalam pada itu turut berkongsi rakaman video kejadian berkenaan yang berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Serdang.

TAGS