Malaysia Dateline

Hujan berterusan sejak semalam Kubang Kerian banjir kilat pagi tadi

Beberapa kawasan sekitar Kubang Kerian dan Lundang Kota Bharu Kelantan dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Beberapa gambar dan video keadaan banjir kilat di Kubang Kerian tular pagi ini di Facebook malah ada yang memberitahu kesesakan lalulintas berlaku kerana ramai pemandu patah balik kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

Keadaan banjir kilat ini juga tular di aplikasi WhatsApp apabila penduduk meminta pihak berkuasa memantau dan menyelesaikan masalah longkang yang didakwa tersumbat, sehingga menyebabkan banjir kilat berlaku di beberapa lokasi di Kota Bharu.

Menurut Berita Harian, antara menerima kesan, Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1 yang turut dinaiki air sehingga 0.2 meter, memaksa guru mengharungi air untuk masuk ke kelas masing-masing.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, mengakui keadaan longkang yang tidak dapat menampung jumlah air yang banyak antara punca berlakunya banjir kilat itu.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menerima laporan mengenai banjir itu daripada penduduk memandangkan paras air tidak terlalu tinggi dan biasanya ia akan surut sebaik hujan berhenti.

“Namun, pihak kami sentiasa membuat pemantauan berikutan keadaan hujan berterusan dan menasihatkan penduduk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Jika lokasi kediaman mereka dinaiki air, kita minta penduduk membuat laporan kepada pihak berkuasa atau berpindah ke lokasi yang lebih tinggi dan selamat,” katanya.