Malaysia Dateline

Hujan lebat berterusan, 317 mangsa banjir mula pindah di Kelantan

Hujan lebat berterusan di seluruh Kelantan sejak semalam mula menunjukkan permulaan musim banjir.

Seperti dilaporkan Sinar Harian online, semalam, seramai 26 orang daripada lima keluarga di Kampung Tasek, Bukit Awang di Pasir Puteh menjadi mangsa banjir pertama yang dipindahkan ke pusat pemindahan.

“Mereka yang terdiri daripada dua lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, 17 kanak-kanak dan satu bayi itu dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja,” laporan itu dipetik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmy Mustofar berkata, kerja memindahkan mangsa itu bermula jam 3.30 petang tadi.

Katanya, seramai sembilan anggota bomba dan tiga anggota polis terlibat dalam operasi tersebut.

“Paras air di kampung itu tidak tinggi tetapi jalan ke kampung itu ditenggelami air sedalam lebih satu meter,” katanya.

Menurutnya, selepas memindahkan keluarga terbabit, bomba dan polis bergegas ke Kampung Darang Buaya bagi memindahkan beberapa keluarga ke Sekolah Kebangsaan Changgai.

Manakala Bernama melaporkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri ini meningkat kepada 317 orang daripada 89 keluarga setakat 9.30 malam tadi berbanding 157 mangsa daripada 36 keluarga 6.30 petang tadi.

Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di beberapa jajahan di Kelantan mula dilanda banjir.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di jajahan Kota Bharu, sebanyak 98 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan iaitu di Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM, Kok Lanas (77 mangsa) dan Dewan Orang Ramai Pasar Melor (21 mangsa) di sini.

Sementara itu, di Pasir Mas terdapat 50 mangsa daripada 15 keluarga ditempatkan di Madrasah Haji Daud manakala di Tanah Merah, 17 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kelewek, Bukit Panau.

Di Pasir Puteh, 152 mangsa daripada 49 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu sekolah Kebangsaan Kamil 1 (32 mangsa),

Sekolah Kebangsaan Changgai (96 mangsa) dan Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja (24 mangsa).