Malaysia Dateline

Hujan lebat sejak malam tadi, Mat Sabu tinggalkan kempen di Temerloh lawat mangsa banjir di Kota Raja

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu bergegas melawat mangsa banjir awal pagi tadi selepas mengetahui penduduk di lapan buah kampung di Parlimen Kota Raja terjejas akibat hujan lebat sejak tengah malam tadi.

Malam tadi juga, beberapa tempat di Selangor dilapor dinaiki air terutama di kawasan Bukit Lanchong, Taman Sri Muda, Bukit Sentosa, Kota Raja dan Taman Sri Andalas.

Justeru, penyandang Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang ketika itu berada di Temerloh bagi membantu kempen Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda, membuat keputusan untuk pulang ke kawasan (Kota Raja).

Menurut hantaran di Facebook, Mohamad bergegas balik ke kawasan Parlimen Kota Raja pagi tadi dan melawat tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Mendapat khabar berita yang kurang baik apabila dimaklumkan oleh Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja beberapa kawasan Parlimen Kota Raja dilanda banjir lagi akibat hujan turun sangat lebat.

“Saya telah bergegas balik ke kawasan Parlimen Kota Raja pagi ini bagi menyantuni mangsa-mangsa banjir yang terkesan.

“Takziah kepada semua mangsa-mangsa banjir,” tulisnya.

Antara kawasan yang terkesan banjir kilat adalah Kampung Johan Setia, Kampung Bukit Lanchong dan Kampung Jalan Kebun.

Ada juga kampung-kampung lain terkesan seperti Kampung Jawa, Kampung Sungai Kandis, Kampung Teluk Menegun, Kampung Bukit Naga dan Kampung Lombong di bawah kawasan Parlimen Kota Raja tetapi masih dalam keadaan selamat.

Pada masa sama, Mohamad juga memaklumkan fokus utamanya jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah menangani masalah banjir di Kota Raja bagi jangka masa panjang.

Namun untuk menangani masalah banjir dalam tempoh jangka masa pendek, beliau akan meminta pihak kerajaan Negeri Selangor memastikan kerja-kerja pencegahan banjir dalam jangka masa pendek dapat disegerakan.

Baca juga: DAP hormat jawatan PM perlu diketuai orang Melayu, tetapi mestilah Melayu berwibawa

Baca juga: Tebar roti canai guna sebelah tangan, wanita kagum lihat lelaki OKU bekerja