Malaysia Dateline

Hujan panas di pagi raya, semuanya salah DAP!

Saban bulan saban minggu, kita dihidang dengan angka-angka terbaharu melibatkan skandal kewangan terbesar bekas Perdana Menteri, MO1 Najib Razak.

Angka berbilion-bilion yang didedahkan oleh mahkamah di Kuala Lumpur ini jauh lebih besar dan terperinci berbanding yang pernah terdedah awal sebelum kejatuhan beliau.

Bagi yang mengikuti rapat kes-kes melibatkan Najib, angka-angka ini masih begitu mengejutkan. Malah, perasaan marah ke atas Najib akan bertambah lagi. Sayangnya, golongan ini sudah tidak ramai.

Tahun lepas, suasana raya dengan sanak saudara baik di Pulau Pinang, Melaka, mahupun Perak dipenuhi kisah-kisah kejahatan Najib. Masing-masing tanpa mengira kiblat politik senang dan rancak meratib tentang apa yang pernah dilalui dan terakibat dari yang dianggap penyelewengan zaman Najib Razak.

Masing-masing dengan pendedahan sendiri – baik kisah tentang peruntukan di tempat kerja yang dipotong mahupun baja kampung yang dicuri oleh orang-orang Najib. Semua mengambil peluang untuk membuakkan rasa sesuai naratif semasa.

Tahun ini tidak sama lagi. Macam saya bilang awal tadi, biarpun dengan pendedahan penyelewengan yang tidak kelihatan lebih baik dari semalam, Najib bukan lagi topik dan antagonis sama seperti dahulu.

Keluh kesah yang dibualkan raya tahun ini sudah beralih arah kepada government of the day – Pakatan Harapan. Bonus yang lebih kecil dari BN (nyaris-nyaris tiada), sifar diskaun atau pengecualian tol perjalanan musim raya, belum kira pula duit raya YB setempat yang tak kunjung sampai – ada sahaja cerita yang nak disampaikan.

Menariknya, cerita sebegini pasti terpalit dengan satu nama – DAP. Sudahnya, semua ini salah DAP.

Rasional masyarakat kita seolah sudah rosak. Besar mana pun rasuah yang didedah, besar mana pun dosa Najib yang dibongkar, semuanya tidak lebih salah, tidak lebih berdosa berbanding kewujudan DAP atau Cina. Rela dan lebih baik berpemimpinkan perasuah, asalkan orang itu Islam dan Melayu.

Hanya setahun yang lalu kita seolah-olah boleh menarik nafas lega – Malaysia Baharu telah membawa suasan baharu yang lama kita idamkan. Masyarakat yang lebih kritikal dalam berbicara, media yang lebih berani mendedahkan rasuah dan salah laku, anak muda yang lebih matang dalam mendepani masa.

Nah, semua ini ternyata hanya hujan panas di tengah hari terik. Panas tak hilang, awan tak meredup.

Ternyata masyarakat kita adalah masyarakat yang sama seperti sebelum pilihan raya. Perspektif, pandangan, mata hati kita sudah terlalu jauh diherotkan dalam menilai yang baik dan yang buruk. Kita tidak lagi mampu untuk mengharap terlalu banyak.

Bersyukur sahajalah dalam PRU yang lalu, masyarakat berani memangkah yang lain dari dacing dan bulan. Peluang dan pengalaman sebegini entah bila dapat diulangi lagi.

Tiada jaminan bahawa apa yang sedang ‘diperjuangkan’ kerajaan baharu ini, mampu membawa perubahan. Tiada jaminan juga apa yang ‘diperjuangkan’ ini juga dapat menambat hati masyaraat pengundi kita.

Sebab itu, dalam tempoh yang hanya semakin singkat ini – kurang lebih tiga ke empat tahun menjelang sekali lagi pilihan raya, iltizam politik yang lebih kuat diperlukan.

Mungkin kita sudah boleh berserah kepada pilihan serba terhad yang kita ada. Jika benar mahu bawa perubahan – baik struktural, baik kosmetik; lakukannya sekarang.

Dalam tempoh tiga ke empat tahun inilah, lunaskan apa yang diimpikan sebelum ini dengan apa jua cara sekali pun. Biarlah kalau BN mahu ambil alih semula negara – kerosakan yang pernah ditanam dalam sistem pemerintahan mereka sebelum ini, sudah dicabut buang dan tak dapat diulang semula.

Dan harap-haraplah tahun yang akan datang, kurang sedikit yang meratib mengutuk DAP di pagi raya.