Malaysia Dateline

Datuk Ahmad Yakob

Hujan peringkat ‘merah’: MB seru rakyat Kelantan solat hajat, berdoa

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menyeru rakyat di negeri pantai timur itu untuk melakukan solat hajat dan berdoa ketika ini agar banjir besar tidak melanda.

Pesuruhjaya Pas negeri tersebut dalam satu kenyataan media ini turut menyeru seluruh rakyat terutamanya mangsa banjir tidak mengambil mudah setiap arahan pihak berkuasa.

“Apabila arahan berpindah dikeluarkan, semua pihak hendaklah mengambil langkah segera agar berpindah.

“Seeloknya ia mesti dilaksanakan sebelum waktu Maghrib bagi mengelakkan sebarang kesulitan dalam proses pemindahan,” katanya.

Menurutnya, laporan ramalan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi hari ini menunjukkan hampir seluruh negeri mengalami hujan peringkat bahaya (merah) sehingga esok.

“Sehingga kini jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka adalah sebanyak 32 buah melibatkan seramai 1,440 mangsa daripada 380 keluarga di seluruh negeri Kelantan.

“Seluruh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) setiap jajahan dan Pengkalan Hadapan sudah berada keadaan siap sedia dengan kerjasama bersepadu pasukan keselamatan termasuk sukarelawan di kawasan berisiko tinggi,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ahmad Yakob mengingatkan rakyat Kelantan bersedia dan berwaspada bagi menghadapi bencana banjir.