Malaysia Dateline

Hujan sambut Muhyiddin di Jakarta

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba lapangan terbang di Jakarta petang ini dalam keadaan cuaca berhujan.

Sekumpulan individu berpayung menyambut ketibaan Muhyiddin dalam lawatan rasmi atas jemputan khas daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo itu.

Video berdurasi 20 saat mengenai ketibaan Muhyiddin itu dimuat naik Bernama TV sebentar tadi.

Lawatan tersebut merupakan lawatan rasmi pertama Muhyiddin sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada Mac tahun lalu.

Lawatan Muhyiddin ke Indonesia sebelum ini dikatakan “dikawal ketat” dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan pandemik Covid-19.

Program lawatan itu juga diringkaskan dan hanya disertai delegasi kecil yang diwajibkan menjalani ujian Covid-19, selain membabitkan individu yang tidak bergejala dan disahkan negatif 48 jam sebelum berlepas.

Delegasi Malaysia juga hanya dibenarkan berada di dalam bilik penginapan dan tempat-tempat rasmi lawatan sahaja.

Sejurus pulang ke tanah air, mereka terbabit perlu menjalani kuarantin wajib seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Wisma Putra dalam satu kenyataan semalam juga memberitahu lawatan Muhyiddin sehingga esok itu penting bagi membincangkan hal berkaitan:

i) perancangan bagi bersama-sama memerangi diskriminasi minyak sawit terhadap Malaysia dan Indonesia di peringkat antarabangsa.

ii) memperkukuh kerjasama dalam memerangi isu alam sekitar khususnya masalah jerebu yang rentas sempadan.

iii) meningkatkan usahasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan termasuk membincangkan potensi keterlibatan syarikat Malaysia dalam usaha menjayakan rancangan Indonesia memindahkan ibu kota dari Jakarta ke Kalimantan Timur.

iv) mempertingkatkan rundingan untuk melaksanakan skim Laluan Hijau Timbal Balik atau Reciprocal Green Lane (RGL) di antara kedua-dua negara atas tujuan rasmi serta perniagaan.

v) berkongsi kaedah dan memperoleh informasi hasil penggunaan vaksin Covid-19 khususnya oleh Indonesia yang telah memulakan program vaksinasi kepada rakyatnya.