Malaysia Dateline

Hukum pengguna media sosial keterlaluan

Cadangan untuk meminda Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi menghukum pengguna media sosial yang mengkritik institusi Perdana Menteri, dibidas sebagai keterlaluan.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Shamsul Iskandar Md Akin berkata, institusi Perdana Menteri bukanlah maksum daripada kesilapan dan rakyat yang melantik mereka berhak untuk menilai prestasi dan menyuarakan pandangan terhadap kerajaan.

“Tidak perlu ditambah lagi akta sakit hati yang mahu menghukum rakyat yang menyakitkan hati kerajaan.

“Hakikatnya, dengan undang-undang sedia ada pun kerajaan boleh sesuka hati menghukum pandangan yang tidak bersetuju dengannya.

“Maka jika digubal undang-undang baharu ini, akan ada lebih ramai lagi mangsa kezaliman akta sakit hati kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris mencadangkan untuk meminda Rang Undang-Undang baharu bagi mengenakan tindakan tegas terhadap netizen yang menunjukkan sikap ekstrem, melampau serta tidak patriotik di media sosial.

Beliau berkata demikian susulan kritikan yang dilemparkan rakyat Malaysia terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Facebook rasmi Presiden Indonesia baru-baru ini.

Sementara itu Shamsul berkata, ketika dunia sedang bercakap soal dasar keterbukaan, cadangan dilemparkan Senator itu sebaliknya melangkah jauh kebelakang.

Katanya lagi, ia juga bertentangan dengan nilai keterbukaan yang dipupuk oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Adakah cadangan ini menggambarkan budaya yang dibawa oleh Perdana Menteri? Sehingga kini Muhyiddin mengelak daripada mengadakan sidang media terbuka.

“Menteri Komunikasi dan Multimedia perlu menjelaskan pendirian kementerian dalam memastikan hak bersuara rakyat sentiasa terpelihara.

“Kita tidak harus menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara selagi ianya tidak menjejaskan keharmonian kaum dan agama,” katanya.