Malaysia Dateline

Hukum perniagaan planet mana ni, rungut penternak ayam kepada kerajaan

“Semua kos naik, dedak naik, ubat naik, gaji pekerja naik, kos infra naik dan tidak dikawal pun, cuma harga jualan ayam sahaja dikawal dan kena diturunkan.

“Hukum perniagaan planet mana pun saya tak tahu …”

Inilah rungutan para penternak ayam sekarang ekoran kekurangan bekalan di pasaran dan rungutan pengguna ayam.

Tulisan di atas dibuat oleh Datuk Jaffri Ahmad, pengerusi syarikat Ayam Bismi yang berpusat di Kedah dalam facebook beliau tiga hari lepas.

Tulisan ini dibuat sempena hari ke 100 harga kawalan ayam dikenakan oleh kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri yang disokong Umno, Pas dan juga Bersatu.

Ayam Bismi adalah antara syarikat penternak ayam bumiputra yang terbesar di utara Semenanjung.

Jaffri dan isterinya, Mazlina Kamarudin bukan penternak ayam biasa-biasa sahaja.

Jaffri dan Mazlina bukan penternak ayam biasa-biasa sahaja tetapi antara yang terbesar di utara Semenanjung.

Mereka bermula dari menjual ayam secara kecil-kecilan kemudiannnya mempunyai ladang menternak ayam yang besar di Kedah dengan jutaan ekor ayam dikeluarkan sebulan.

Kedua-dua mereka pernah menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Agropreneur Agrobank terbaik 2018.

Ayam Bismi juga mempunyai ‘outlet’ mereka sendiri di seluruh negara.

Untuk kebajikan pula, mereka membina rumah makan percuma untuk mereka yang memerlukan.

Rumah Makan Percuma yang dibina oleh Jaffri dan Mazlina untuk membantu orang ramai.

Namun kini, beliau juga mengalami krisis bekalan ayam. Banyak reban ayam mereka terpaksa ditutup kerana kekurangan pekerja dan sebagainya.

Beliau juga mendakwa, walaupun jutaan ringgit sabsidi untuk mengurangkan harga ayam diumumkan oleh kerajaan Ismail Sabri, sehingga kini beliau tidak menerima sedikit pun.

“Hari ni adalah hari ke 100 harga kawalan yang memeras keringan semua pemain industri ayam dilaksanakan. Berapa ratus juta kerajaan berjanji untuk membayar subsidi, tapi subsidi untuk 1 hari pun masih belum diterima,” kata Jaffri.

KEKURANGAN BEKALAN

“Tokeyyy..minta ayam sikit “… ini adalah ayat yang paling kerap di ucap setiap kali menjawab panggilan telefon sekarang.

“Saya hanya mampu menjawab ..”minta maaf banyak-banyak tuan, untuk kegunaan kita sendiri pun masih tidak mencukupi, tak dapatlah nak menolong tuan,” cerita Jaffri dalam tulisan itu.

Menurut beliau, soal harga langsung tidak ditanya berapa, yang penting nakkan bekalan ayam sahaja.

Katanya, sepanjang lebih 34 tahun terlibat dalam industri ayam, beliau tidak pernah mengalami krisis kekurangan bekalan sebegini.

“Semua disalahkan…

“Peniaga kecil disalahkan naikan harga, siap disaman.
Pemborong disalahkan jual borong pada harga tinggi.
Perternak disalahkan kerana tidak mengikut harga yang ditetapkan.
Kartel disalahkan kerana kononnya mengawal industri ini.

“Kita dah bagitau harga kawalan ini akan menyebabkan kekurangan bekalan suatu hari nanti, mereka pun tak kisah…” kata Jaffri lagi.

Menurut pengasas Ayam Bismi ini, beliau dan pimpinan syarikat beliau telah memberitahu, “pekerja tak ada nak ternak ayam dan ada reban-reban terpaksa dikosongkan.

Reban ayam terpaksa dikosongkan kerana tiada pekerja dan pelbagai masalah lagi.

“Mereka pun tak kisah ..siap bagitau ramai pekerja tempatan yang sanggup mengambil alih kerja-kerja tersebut, tak apa .. kita tunggu lagi

“Menteri pun dah jumpa bagitau kos terus meningkat dan harga jualan merugikan pengeluar dan akan menyebabkan pengeluar akan mengurangkan kemasukan nanti ..

“Dia faham tapi dia pun tak kisah kot apa nak jadi nanti.

“Bila pembuat polisi yang tidak cekap cuba ambil alih hukum pasaran, inilah kesannya..dan kami pun terpaksa menurut perintahkan …kau langgar aku saman,” rungut Jaffri lagi.