Malaysia Dateline

Hukuman lebih berat ke atas pemandu mabuk bukan cadang guna e-hailing

Kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang menyatakan individu mabuk sepatutnya menggunakan perkhidmatan e-hailing, menggambarkan sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak serius mengatasi masalah tersebut.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, PN juga dianggap lambat bertindak menyelesaikan isu terbabit selepas Ka Siong meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengkaji pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sedangkan menurut Faiz, Kabinet Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah bersetuju meningkatkan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk melalui pindaan seksyen 41, 44 dan 45 Akta Pengangkutan Jalan.

“Malahan, bekas Menteri Undang-undang Liew Vui Keong pada 13 Februari lalu mengumumkan pindaan hukuman penjara sehingga 20 tahun. Namun, ia tidak sempat dibentangkan kerana penukaran kerajaan.

“Memandangkan kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk semakin meningkat, pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan untuk mengenakan hukuman lebih berat perlu disegerakan,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Februari lalu, kerajaan PH sedang merangka untuk meminda hukuman bagi kesalahan tersebut, termasuklah hukuman penjara 20 tahun dan denda RM100,000 jika pemandu disabit kesalahan.

Dalam pada itu, Adun Permatang Pasir tersebut menegaskan bahawa pindaan berkenaan penting bagi mengatasi masalah yang timbul.

Ia juga katanya sebagai amaran kepada rakyat bahawa memandu di bawah pengaruh alkohol adalah satu kesalahan yang serius kerana mengancam nyawa orang ramai.

Awal pagi semalam, seorang anggota polis maut selepas selepas sebuah kereta disyaki dipandu pemandu mabuk, merempuh sekatan jalan raya Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya (LEKAS), di Kajang

Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi terbabit akibat cedera parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan Toyota Hilux dipandu seorang lelaki mabuk.