Malaysia Dateline

Hukuman mati mandatori tidak wajar dimansuhkan, kata Musa Hassan

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menegaskan beliau tidak bersetuju sekiranya hukuman mati mandatori dimansuhkan di negara ini kerana akan menjadi antara punca kepada peningkatan kadar jenayah.

Beliau berkata, hukuman mati mandatori tidak wajar dimansuhkan kerana ianya masih lagi relevan dalam negara ini.

“Kalau hukuman seperti mati mandatori ini dimansuhkan, kumpulan ekstremis ini akan bergembira.. suka.. kita kena jaga-jaga semua ini.. sekiranya indeks jenayah dalam negara ditunjukkan, ianya memang tinggi.

“Saya mengambil contoh dalam insiden Al-Ma’unah di Sauk. Mereka menculik dua pegawai polis dan mengikat di pokok, salah seorang daripada pegawai polis ditembak di kepala.. mati macam itu sahaja.

“Mereka ditahan dan dibicarakan di mahkamah, di bawah Sesyen 121 Kanun Keseksaan dan pembunuh berhadapan hukuman mati, manakala pengikutnya yang lain dipenjarakan.

“Dari insiden itu, kita juga boleh melihat hukuman mati mandatori memang diperlukan dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan meja bulat mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori yang turut dihadiri adik kepada mendiang Datuk Anthony Kevin Morais iaitu Datuk Richard Morais dan seorang lagi peguam, Christina Teng.

Dalam perkembangan sama, berkenaan pemansuhan hukuman mati mandatori, Musa turut mengambil kira perasaan keluarga mangsa sekiranya mereka terlibat dalam insiden yang tidak diingini.

“Bagaimana perasaan keluarga si mangsa bila dapat tahu penjenayah terlepas macam tu sahaja tanpa dikenakan hukuman? Perasaan keluarga si mangsa juga perlu dijaga. Tugas kerajaan adalah untuk memastikan semua orang mendapat keadilan dalam negara ini.

“Kalau mangsa mati, apa perasaan keluarganya? Mereka (keluarga mangsa) cuma mahukan kerajaan mengenakan tindakan kepada penjenayah. Kita mahukan keadilan. Kalau orang tak dapat keadilan, ia akan menjadi satu masalah,” katanya.

Sementara itu, Musa turut menyifatkan serangan dua buah masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru adalah kerana tiada hukuman mati dilaksanakan di sana.

“Sekarang ini ada satu video sedang viral daripada berita Australia. Mak kepada pembunuh (Tarrant) ditemuramah dan dia berkata, anaknya memang layak untuk hukuman gantung sampai mati kerana membunuh kira-kira 50 jemaah di dalam masjid.

“Justeru itu, saya menggesa pihak kerajaan mempertimbangkan supaya tidak memansuhkan hukuman mati secara terus, tetapi untuk melihat apa kes-kes yang memerlukan hukuman tersebut,” katanya lagi.