Hukuman mati mandatori tidak perlu dimansuh, kata Armada

Hukuman mati mandatori tidak perlu dimansuh, kata Armada

Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendapat Rang Undang-Undang (RUU) bagi hukuman mati mandatori tidak sepatutnya diusik dan dimansuhkan.

Ketua Biro Integriti, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata jika diperhatikan, hukuman mati mandatori tersebut bukan satu isu yang besar.

“Isunya cuma, pihak-pihak yang ingin ‘mengusik’ perkara ini dikatakan khuatir jika ada pesalah yang disalah hukum.

Dr Muhammad Faiz Nukman

“Saya kira ini juga bukan soal hukuman. Ini soal perbicaraan dalam mahkamah yang berkaitan dengan soal kredibiliti hakim, bukan tentang hukuman itu patut diubah (dimansuhkan) atau pun tidak.

“Oleh kerana kita menghormati pandangan rakan-rakan dari parti komponen yang lain, kita biarkan ahli parlimen yang buat keputusan tentang hal itu,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media isu perarakan dan perhimpunan haram golongan LGBT di Kuala Lumpur pada 9 Mac sempena Hari Wanita Antarabangsa, di Ibupejabat Bersatu di Petaling Jaya semalam.

Faiz menambah, kebanyakan masyarakat Malaysia berpandangan jika hukuman mandatori ini dihapuskan, maka akan lebih lama pesalah ditahan di dalam penjara.

“Kesan dari pemansuhan tersebut sebenarnya akan menyebabkan penjara menjadi begitu sesak dan juga padat dengan pesalah-pesalah.

“Pada pandangan saya dan Armada sendiri, hukuman ini tidak sepatutnya diusik dan harus dikekalkan,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dilapor berkata hukuman mati mandatori bagi pelaku jenayah bunuh dengan sengaja adalah antara 32 kesalahan yang akan dipertimbangkan untuk dimansuhkan.

Vui Keong juga berkata, hukuman penjara minimum 30 tahun akan dilaksanakan bagi menggantikan hukuman mati, jika pemansuhannya diluluskan di Parlimen.

Rang Undang-Undang berkaitan pemansuhan hukuman itu dijangka akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat yang bermula semalam.