Hukuman penjara bekas pegawai tentera ditambah menjadi seminggu

Hukuman penjara bekas pegawai tentera ditambah menjadi seminggu

Hukuman penjara sehari ke atas seorang bekas pegawai tentera atas kesalahan rasuah ditambah menjadi seminggu, selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menerima rayuan yang difailkan pihak pendakwaan.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz juga memerintahkan supaya Shaharil Hisham Abdul Razak, 59, menjelaskan denda RM15,000 atau jika gagal, dipenjara selama lima bulan.

Pada penghakimannya, Zainal Azman berkata beliau perlu menganggu hukuman oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini pada 11 Okt 2018 kerana berpandangan hukuman penjara sehari itu tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.

“Mahkamah perlu meletakkan kepentingan awam melebihi daripada kepentingan individu, apatah lagi dalam kes yang melibatkan rasuah dan penjawat awam kerana ini melibatkan integriti dan jentera kerajaan.

“Kesalahan rasuah bukan suatu kes yang dipaksa sebaliknya dirancang dan dipilih oleh tertuduh yang berpangkat untuk melakukannya. Ini bukan seperti ibu tunggal mencuri milo di pasaraya untuk memberi anak makan,” katanya.

Zainal Azman seterusnya membenarkan permohonan peguam Ahmad Nizam Hamid untuk menangguhkan hukuman penjara ke atas anak guamnya kerana mereka akan memfailkan rayuan dalam tempoh seminggu.

Pihak pendakwaan yang memfailkan rayuan pada 30 Okt tahun lalu diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin.

Shaharil Hisham didakwa selaku pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpangkat Leftenan Kolonel telah mendapatkan suapan berjumlah RM5,794 menerusi akuan Malayan Banking Berhad milik isterinya daripada kontraktor Mohd Rozaini Mohamad Rosli pada 18 Nov 2016 di cawangan bank itu di Jalan Bukit Ubi di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan semasa dia berkhidmat sebagai Pegawai Staf 1 (Ketua Zon) di Pejabat Senggaraan Zon Timur (Pahang), Cawangan Pengurusan Fasilitas dan Urus Senggara Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Kem Batu 3 di Temerloh, dekat sini.

Bagi kesalahan itu, Shaharil Hisham yang beralamat di Taman Sri Bahagia Temerloh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dihadapkan ke mahkamah kali pertama pada 9 Jun 2017 dan tertuduh membuat pengakuan salah setelah representasinya diterima pihak pendakwaan selepas tiga saksi selesai memberi keterangan.

— BERNAMA