Hukuman penjara Fakhrulrazi tidak lemahkan semangat juang anak muda

Hukuman penjara Fakhrulrazi tidak lemahkan semangat juang anak muda

Sekalipun kecewa dengan keputusan penjara lapan bulan terhadap Naib Ketua Pemuda Amanah Fakhrulrazi Mokhtar namun pujian harus diberikan kepada beliau, kata Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir.

Beliau berkata, pemimpin muda itu telah membuktikan keberanian beliau untuk menyatakan yang hak di hadapan pemimpin yang zalim, sekalipun sedar risiko yang bakal dihadapi.

“Keputusan ini menyedarkan kita bahawa perjuangan menegakkan keadilan di negara ini bukan tugas mudah, malah terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran berliku.

“Namun hakikatnya, perjuangan ini perlu diteruskan walau dengan apa harganya. Hanya kebangkitan rakyat mampu mengubah kepincangan sistem yang ada pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga yakin tindakan terhadap Fakhrulrazi ini sesekali tidak akan melemahkan semangat juang anak muda khususnya dalam Amanah untuk menentang kemungkaran dalam negara yang kini dipalit skandal 1MDB.

“Malah saya yakin, tindakan ini akan menyemarakkan lagi semangat kebangkitan anak muda berhadapan dengan segala kepincangan pentadbiran negara di bawah Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur semalam menjatuhi hukuman penjara lapan bulan ke atas Fakhrulrazi selepas didapati bersalah atas kesalahan menghasut menentang kerajaan pemerintah dan boleh menjurus rusuhan awam.

Tuduhan itu berdasarkan ucapan Fakhrulrazi ketika himpunan #KitaLawan pada 21 Mac lalu mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948.

Bagaimanapun, hakim Shamsudin Abdullah membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut tetapi menaikkan jumlah jaminan daripada RM1,000 kepada RM5,000.

COMMENTS

Wordpress (0)