Malaysia Dateline

Hukuman penjara pada penagih tidak bantu pemulihan, kata Presiden Pengasih

Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) menyambut baik perubahan dasar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melihat penagihan dadah dari perspektif penyakit yang perlu dirawat dan bukan dikenakan tindakan undang-undang.

Presidennya, Ramli Abdul Samad, menegaskan bahawa tuntutan yang terus-terusan mahu menghukum penagih sebagai melakukan kesalahan jenayah, sama sekali tidak akan membantu pemulihan golongan berkenaan.

Ramli Abd Samad

Malah katanya, mengenakan hukuman dengan memenjarakan golongan itu, tidak memberi kesan positif kepada perubahan mereka yang dapat dibuktikan melalui rekod beberapa penagih yang akhirnya dimasukkan semula ke dalam penjara selepas dibebaskan.

“Kerana itu saya mahukan agar sistem pendekatan kita kepada golongan penagih, perlu melalui perubahan yang besar terutama dari segi akta dan undang-undang.

“Penagih bukanlah penjenayah. Kalau sekadar dia mengguna dadah tapi tak mencuri, tak pukul orang, dia bukan penjenayah. Dia adalah pesakit yang perlu kita tolong.

“Untuk meklumat, kira-kira 60 peratus atau seramai 40,000 orang yang dimasukkan ke dalam penjara adalah pengguna dadah. Manakala dalam pusat serenti, kita ada sehingga 8,000 penagih dadah.

“Kerana itu, kita perlu ambil pendekatan kemanusiaan kerana memang ada sehingga berbelas kali individu yang sama dimasukkan ke penjara kerana dadah,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas langkah Kementerian Kesihatan untuk memperkenalkan dasar sifar jenayah dadah – suatu polisi menangani masalah penyalahgunaan dadah dengan melayan penagih bukan sebagai penjenayah tetapi pesakit yang perlu dirawat oleh profesional perubatan.

BacaPenagih bukan penjenayah

Menurut Ramli lagi, pendekatan mengenakan hukuman penjara kepada golongan yang terlibat dengan dadah ini, terbukti tidak berkesan.

“Cara ini (hukuman penjara) dah terbukti tidak menolong kerana selama 37 tahun Malaysia perangi dadah habis-habisan, namun ianya gagal.

“Duit berbilion habis, jadi kita kena gunakan pendekatan yang baru dan terbukti lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya terbuka sekiranya kerajaan mahu mempelajari model rehabilitasi yang menggunakan pendekatan kasih sayang untuk diterapkan pada pusat-pusat serenti yang menempatkan penagih dadah.

Beliau berkata, model pendekatan kasih sayang itu seharusnya diperluaskan lagi sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu meletakkan penagih sebagai pesakit yang perlu dirawat secara perubatan profesional.

Beliau berkata, model yang digunakan di pusatnya selama 30 tahun itu berjaya menarik minat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), selain beberapa negara Asia seperti Pakistan, India, Thailand, Kemboja, dan Indonesia untuk mempelajari kaedah pemulihan yang berkesan.

“Kita menggunakan pendekatan kasih sayang di mana penagih ini berubah dan kemudiannya mereka akan saling bantu-membantu antara satu sama lain.

“Kami mencadangkan model yang kami gunakan ini diperluaskan. Ini sebagai alternatif dan pilihan apabila penagih ini dianggap sebagai pesakit.

“Kami sanggup dan bersedia untuk berkongsi dengan badan-badan bukan kerajaan yang lain, malahan dengan kerajaan juga tentang model rehabilitasi kami,” ujarnya.