Malaysia Dateline

HUS terima sumbangan 350 set PPE daripada DAP Sarawak

Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menyumbangkan sebanyak 350 set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan di Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, sumbangan yang bernilai RM28,000 itu adalah bagi menangani keperluan mendesak peralatan berkenaan khususnya bagi petugas perubatan menentang pandemik Covid-19.

Katanya, ini adalah sebahagian daripada beberapa bekalan dan peralatan yang akan diserahkan kepada pihak HUS secara berperingkat.

“Sebelum ini, kami mendengar banyak laporan petugas barisan hadapan dikuarantinkan kerana terdedah kepada jangkitan ketika mengendalikan pesakit Coronavirus (Covid-19).

“PPE ini amat penting bagi petugas melindungi diri daripada terdedah kepada jangkitan terutama ketika mengendalikan pesakit Covid-19,” jelasnya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Tambah Dr Kelvin, peralatan tersebut telah diserahkan kepada pihak HUS oleh beliau yang turut ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pending, Violet Yong dan bekas Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan.

“Kami kini berusaha mengumpul seberapa banyak kemudahan perlindungan bagi membantu memudahkan kerja para petugas tersebut.

“Adalah menjadi tanggungjawab kolektif untuk menjaga satu sama lain, dan cara terbaik adalah untuk kita tinggal di rumah, dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia bukan sahaja akan membantu membendung penyebaran virus tetapi juga membantu meringankan beban petugas perubatan supaya mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada mereka yang benar-benar memerlukan rawatan,” ujar beliau lagi.