Malaysia Dateline

Husam anggap Pas takut dengan pengundi 18 tahun

Pas dilihat bimbang dengan gelombang anak muda sekiranya pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dilaksanakan.

Bekas Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa berpendapat presiden parti yang merupakan komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu hanya menggunakan faktor kematangan sebagai alasan.

“Kenapa tiba-tiba mengundi (timbul persoalan) tidak matang? Maknanya, dia takut dengan pengundi 18 tahun.

“Kalau gerenti 18 tahun itu mengundi Pas dan PN, dia (Pas) kata matang,” katanya kelmarin.

Husam berkata demikian ketika menjawab soalan peserta dalam Dialog Isu-Isu Rakyat & Hal Ehwal Semasa di Rumah Rehat, Temerloh.

Pada 26 Mac lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tidak menerima sebarang kesan daripada penangguhan pelaksanaan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) kerana parti itu mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang.

Mengulas lanjut, Husam berkata, Pas sudah menjangka arah aliran sokongan anak muda yang merupakan pengguna pelbagai platform media sosial tetapi cenderung menolak Pas.

“Anak muda sekarang sangat tidak suka Pas. Dia punya putar siang jadi malam, timur jadi barat. Hujah dia (Pas) tidak konsisten. Semua anak muda nampak.

“Dia (Pas) tengok trend anak muda yang pakai telefon pintar ini sudah tahu Pas kelentong. Media sosial hentam Pas, dia tahu kalau mereka berusia 18 tahun ini masuk mengundi, dia akan kalah, tiba-tiba (kata) tidak matang.

“Jadi, awak (Pas) yang tidak matang matang, bukan ‘budak’ (pengundi 18 tahun) tidak matang,” tambah Husam lagi.