Husam bakal berdepan tindakan disiplin parti, kata Takiyuddin

Husam bakal berdepan tindakan disiplin parti, kata Takiyuddin

Bekas naib presiden Pas, Datuk Husam Musa akan berdepan tindakan disiplin ekoran kelantangannya dalam mengkritik parti.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan, sejak tahun lalu banyak aduan yang diterima mengenai Adun Salor ini.

Tegasnya, mengikut perlembagaan, empat kategori yang boleh buat aduan mengenai ahli yang melanggar tatatertib ialah Pas negeri, Pas kawasan, Pas cawangan dan Dewan-Dewan.

“Banyak kenyataan yang dikeluarkan (Husam) dilihat mencabar dan merugikan parti. Ia satu kesalahan.

“Pejabat Pas pusat akan memproses tindakan yang bakal diambil. Bila sudah siap proses, kita akan panggil,” katanya dipetik Sinarharian.

Tambahnya, dalam perlembagaan, ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk ahli yang melanggar disiplin dan tatatertib dalam parti.

“Badan disiplin ada tiga tindakan iaitu lucutkan jawatan dalam parti, gantung keahlian dan pecat dari parti.

“Untuk kes itu (Husam), terpulang kepada jawatankuasa tatatertib. Mereka akan tengok dan kaji mana yang sesuai,” katanya ketika ditemui di majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Hostel Mandarin, Kota Bahru.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob juga turut hadir memeriahkan sambutan itu.

Ditanya mengenai gesaan Husam untuknya meletakkan jawatan, Takiyuddin menyifatkan ia sebagai gurauan rakan lama.

“Hak dia nak suruh letak jawatan, lagipun dia dah lama suruh Datuk Seri Najib Razak letak jawatan.

“Yang melantik saya adalah Presiden Pas dan diterima jawatankuasa parti. Dia sendiri tahu yang dia tidak boleh pecat saya.

“Jadi, saya rasa ia hanyalah gurauan rakan lama. Malah, caranya juga seperti selebriti yang dilupai dan cuba meraih publisiti,” katanya lagi.

TAGS