Husam bersemuka dengan Hadi di mesyuarat agung Kubang Kerian hari ini?

Husam bersemuka dengan Hadi di mesyuarat agung Kubang Kerian hari ini?

Bekas Naib Presiden Pas yang dipecat, Datuk Husam Musa dijangka akan bersemuka dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kubang Kerian hari ini apabila kedua-duanya dijangka akan datang untuk mesyuarat agung Pas kawasan itu hari ini.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas Naib Presiden Pas yang dipecat, Datuk Husam Musa dijangka akan bersemuka dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kubang Kerian hari ini apabila kedua-duanya dijangka akan datang untuk mesyuarat agung Pas kawasan itu hari ini.

Husam walaupun dipecat membuat keputusan untuk terus datang ke mesyuarat itu selepas dijadualkan berucap selaku Yang Dipertua Pas kawasan Kubang Kerian kerana beliau menganggap dirinya masih ahli Pas.

Abdul Hadi pula dijangka akan hadir untuk merasmikan mesyuarat itu dan seterusnya mengumumkan beliau akan memangku jawatan Yang Dipertua Pas Kubang Kerian selepas Husam dipecat dari menjadi ahli Pas.

“Presiden dijangka akan bertolak ke Pasir Tumboh bagi menghadirkan diri sebagai tanda sokongan kepada PAS Kubang Kerian. Presiden dimaklumkan akan mengumumkan beliau sebagai YDP Sementara bagi PAS Kubang Kerian,” tulis satu sebaran yang dibuat di kalangan Pas.

Abdul Hadi dijangka akan merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Jeli pada jam 9 pagi dan selepas itu akan bergegaskan ke Pasir Tumboh bagi menghadirkan diri sebagai tanda sokongan kepada Pas Kubang Kerian, kata satu sebaran yang dibuat sempena mesyuarat agung ini.

Sehubungan dengan itu, Pas telah mengerahkan Unit Amal agar datang bertugas seramai mungkin.

Majlis sambutan presiden akan dibuat di hadapan Sekolah Padang Enggang jam 10.45 pagi dan seterusnya konvoi bermotor ke Taqaddum Al Maarif, kata sebaran itu.

Menurut sebaran itu lagi, satu laporan polis telah dibuat bagi menghalang Husam daripada berucap.

“Unit Amal dikehendaki bertindak berdasarkan arahan semasa,” kata arahan itu.

Husam telah dipecat oleh Pas mulai 24 April melalui Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan oleh Dr Sanusi Daeng Mariok.

Namun makluman rasmi keputusan itu hanya dibuat semalam melalui satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Harakahdaily, lidah rasmi Pas semalam, 6 Mei.

Sementara itu, satu perhimpunan solidariti bersama Husam dijangka akan diadakan pagi ini juga di tempat mesyuarat agung iaitu SMUA Taqaddum Maarif, Pasir Tumbuh bermula pagi ini hingga tengahari.

“Satu kenyataan media akan dibuat selepas itu bersama dengan rakan media.

“DHM akan menyatakan pendiriannya bersempena pada tarikh yang sama YB Presiden Pas akan berada di Jeli bagi merasmikan Mesyuarat Pas Kawasan Jeli,” kata satu kenyataan itu.

Mereka mendakwa, ramai Adun Pas akan hadir dalam majlis ini termasuk Adun Demit (Mumtaz Mat Nawi), Pasir Tumbuh (Abdul Rahman Yunus), Kelaboran (Zaki Ibrahim), Tendong (Rozi Mohamad), Kijang (Wan Ubaidah Omar) di samping ahli parlimen Pasir Puteh (Datuk Dr Nik Mazian) dan Kubang Kerian (Ahmad Baihaqi Atiqullah).

TAGS