Husam cadang KADA baca doa minta aktiviti pertanian terus dapat rahmah

Husam cadang KADA baca doa minta aktiviti pertanian terus dapat rahmah

PENGERUSI Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Husam Musa mencadangkan doa dibaca setiap kali dalam program melibatkan agensi itu agar aktiviti pertanian terus mendapat rahmah daripada Allah SWT.

Husam ketika berucap dalam Majlis Pembahagian Hasil Padi dan Zakat Ladang Merdeka Ismail Mulong Musim 1/2018 semalam berkata, KADA bukan sahaja membuat tali air, bagi benih, kerah pesawah sahaja bahkan agensi itu juga wajar berdoa untuk kesejahteraan para petani di negeri itu.

Husam menyampaikan hasil pertanian dan zakat kepada salah seorang petani yang hadir

“Saya sebagai pengerusi KADA mahu sediakan satu doa yang kita boleh baca dalam majlis, selepas lagu Negaraku, lagu Selamat Sultan, kita baca doa iaitu doa teras kepada KADA.

“Biar KADA pun berdoa juga jangan buat tali air sahaja, bagi benih sahaja, kerah pesawah sahaja, KADA pun kena bergantung dengan tuhan juga supaya KADA jadi satu institusi untuk orang Melayu Islam dan beriman.

“Antara yang dicadangkan ialah doa “Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar… “daripada kami segala benda kami takut dan bimbang (kemarau kami takut, tidak ada air kami bimbang, mari serangga kami takut punah padi dan tiada siapa yang jaga, kami bimbang).

“Biar ada dalam hati kita dan berdoa kepada Allah Taala sepanjang masa.

“Sebagaimana berkat kepada utusan Nabimu, tolong makmurkanlah kampung-kampung kami, jangan kerana dosa kami Engkau turunkan perkara-perkara yang tidak baik dan angkatlah perkara buruk yang menyusahkan kami,” katanya sambil membacakan doa tersebut kemudian diterjemahkan kepada para petani yang hadir.

Tambahnya doa ini akan dirakam kemudian akan disebarkan di dalam majlis-majlis orang kampung, KADA dan kakitangannya serta seluruh negeri Kelantan agar aktiviti pertanian membuahkan hasil yang baik dan banyak.

“Jadi kita semua berpakat ramai-ramai minta tolong dengan Dia untuk turunkan rahmat, Insyallah dia akan kesian belas kepada kita, dan dengan cara itu hasil kita akan naik dan diberkati,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 577 petani menerima zakat termasuk pembahagian hasil padi bagi musim tahun lalu membabitkan pendapatan keseluruhan di Ladang Merdeka Mulong berjumlah RM205,000.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Pembangunan KADA, Nik Roslan Idris dan Timbalan Pengurus Besar Operasi, Mat Naji Abdullah.

Seramai 577 petani menerima zakat termasuk pembahagian hasil padi bagi musim tahun lalu

Pada perkembangan yang sama, Husam berkata, pembenihan awan yang dijalankan selama lima hari pada minggu lalu tidak menghasilkan kesan yang tinggi berikutan keadaan cuaca yang terlalu kering pada masa ini.

“Namun, pada Khamis dan Jumaat yang lalu terdapat hujan di beberapa tempat termasuk Machang, tetapi ia tidak dapat menyelesaikan keperluan air yang diperlukan pesawah masa ini,” katanya.

Sebanyak 15 pam mudah alih berkuasa tinggi bernilai RM12 juta akan dibekalkan KADA bagi membantu petani yang mengalami masalah kerosakan tanaman padi akibat musim kemarau.

Cadangan itu akan dikemukakan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, dalam mesyuarat yang akan diadakan bagi mendapatkan kelulusan dan peruntukan segera.

Katanya, pam itu akan dibekalkan termasuk di Kemubu di sini, untuk menyalurkan air kepada pesawah di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok.

“Kesan pam mudah alih ini akan mengambil masa dalam tempoh enam hingga lapan bulan, bukan dengan kadar segera. Namun ini adalah penyelesaian yang paling segera yang mampu kami lakukan.

“Disebabkan musim ini hanya tinggal dua bulan, jadi kaedah ini dapat digunakan pada musim tanaman kedua tahun ini.

Bagi pesawah di Tumpat dan Pasir Mas, mereka dibekalkan air dari pam di Mekasar serta pam Batu Hampat, Tumpat,” katanya.