Husam dakwa Pas dalam dilema

Husam dakwa Pas dalam dilema

Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa mendakwa Pas dalam dilema apabila ada pemimpin kanan parti itu tidak merestui kerjasama membabitkan BN.

Beliau berkata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendapat halangan daripada beberapa pemimpin parti itu untuk melakukan kerjasama, lapor BH Online.

Bagaimanapun, katanya, jika Pas tidak melakukan kerjasama dengan BN, ia dijangka hilang banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

“Untuk memperoleh kemenangan, Pas perlu bergabung dengan mana-mana parti termasuk BN atau menyertai pakatan pembangkang.

“Namun, perkara itu menjadi sukar kerana pemimpin kanan parti itu tidak merestui kerjasama terbabit menyebabkan PAS kini seperti dalam dilema,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Wakaf Mek Zainab dan Kampung Penambang, hari ini.

Berhubung kenyataan Naib Presiden Pas Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah bahawa parti itu bercadang untuk bertanding lebih 100 kerusi pada PRU-14, Husam berkata kenyataan itu sekadar ugutan kepada pakatan pembangkang.

“Pas sebelum ini menyatakan akan bertanding di 40 kemudian 80 dan kini 100 kerusi pula tetapi belum lagi ada sebarang kerjasama dibuat. Saya rasa itu hanya menjadi ugutan saja,” katanya.

Dalam pada itu, Husam berkata, pemimpin pertengahan Pas perlu mendesak pemimpin tertinggi mereka untuk membuat keputusan mengenai hala tuju parti itu.

 

5.0
OVERALL SCORE
: 5.0
Have no any user vote