Husam gesa segera lantik penghulu Dun Salor

Husam gesa segera lantik penghulu Dun Salor

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Husam Musa menggesa Kerajaan Negeri Kelantan segera melantik penghulu atau ketua kampung di kawasan Dun Salor yang diwakilinya kerana telah tertangguh hampir sebulan.

“Merujuk kenyataan akhbar terbaru Presiden saya, saya menyeru Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh Timbalan Mursyidul Am Pas segera mengeluarkan surat lantikan kepada semua Penghulu (Ketua Kampung) Dun Salor.

“Perlantikan telah tertangguh sejak sebulan yang lalu tanpa sebarang penjelasan,” ujar Husam dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, seperti dirinya yang dipilih oleh rakyat sebagai Adun, perkhidmatan untuk rakyat tidak harus terganggu atas sebab-sebab politik.

Diskriminasi dan tekanan politik ke atas jentera pentadbiran dan rakyat Salor, ujar beliau tidak patut berlaku lebih-lebih lagi oleh kerajaan negeri yang mengutaraka konsep ‘Kepimpinan Ulama’.

“Saya dimusuhi sejak hari pertama tidak dilantik sebagai Exco dan kini permusuhan itu dilanjutkan kepada pihak lain yang tidak bersalah.

“Saya berharap Presiden Pas segera membetulkan urusan Kerajaan Negeri Kelantan yang ditadbir oleh Pas selari dengan pandangan beliau mengenai isu kemelut politik Negeri Kedah,” ujar Husam.

TAGS