Husam harap dapat sepentas bela rakyat bersama Mukhriz

Husam harap dapat sepentas bela rakyat bersama Mukhriz

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bekas Naib Presiden Pas , Datuk Husam Musa bersedia bersama semua pihak termasuk bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir demi membela nasib rakyat yang semakin tertekan dengan kenaikan kos sara hidup mendadak akibat salah urus kewangan negara.

“Tindakan Mukhriz harus diberi pujian kerana melepaskan jawatan tanpa memanjangkan krisis yang memangsakan rakyat.

“Saya harap dapat sepentas dengan Mukhriz dalam memberi penjelasan berkaitan salah urus ekonomi Najib yang semakin menekan rakyat, “ katanya pada sidang akhbar bersama penduduk yang membantah pembinaan kodominium mewah bersebelah masjid Telipot di Kota Bahru semalam.

Husam turut mengucapkan tahniah kepada Mukhriz atas tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Mukhriz yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah semalam kerana disingkir disebabkan  pernah mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan skandal 1MDB dan derma kontroversi 2.6 billion.

Husam yang juga Adun Salor  turut menyentuh isu cadangan pembinaan kondo sebelah Masjid Telipot, mahu pihak kerajaan negeri mendengar pandangan orang ramai khususnya ahli kariah yang memakmurkan masjid berkenaan.

“Saya terkejut apabila diberitahu sehingga sekarang tiada perundingan yang dibuat antara pihak kerajaan dan penduduk,” katanya.

Menurut Husam tanah bersebahan masjid itu wajar diserah kepada pihak masjid kerana masjid Telipot yang kini berada di pusat pertumbuhan kediaman awam dan perniagaan perlu dibangunkan dengan kemudahan lebih selesa pada masa depan.

“Mengapa kita sentiasa membiarkan masjid menjadi tempat yang sesak dan tidak selesa sedangkan kita ada pilihan untuk membangunkan prasarana lebih kondusif dengan tapak tanah yang sesuai seperti ini?,” soal beliau.

Dalam pertemuan itu yang disertai sekumpulan penduduk sekitar masjid itu Husam memberitahu beliau sendiri menghantar surat kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob untuk mengkaji semula cadangan berkenaan.

“Saya berharap semua pihak termasuk Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan para ulamak turut memberi perhatian kepada isu ini kerana ia berkaitan keperluan orang ramai dan kepentingan Islam,” tambahnya.

TAGS