Malaysia Dateline

Husam kata dia mahu bertanding kerusi negeri sahaja, beritahu Wan Rahim

Penjelasan yang dibuat oleh Datuk Wan Rahim Abdullah bahawa Datuk Husam Musa tidak bersedia untuk bertanding di peringkat Parlimen dalam pilihan raya kali ini telah meredakan ketegangan di kalangan penyokong AMANAH Kelantan.

Menurut bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu, beliau telah meminta Husam secara pribadi agar bertanding kedua-dua peringkat iaitu Parlimen dan DUN di Kota Bharu.

“Pada 2 Okt, berkereta bawa Datuk Husam ke Gong Ketereh, ambo minta dia tanding Parlimen dan DUN di KB (Kota Bharu).

“Jawabnya jelas dengan penuh keikhlasan, “Ana letih doh Cikgu, rasanya kalu tandingpun cukuplah di Negeri,” tulis Wan Rahim, bekas Pengerusi AMANAH Kelantan itu.

Wan Rahim ketika dihubungi mengesahkan komen yang beliau buat itu dan itulah cerita yang sebenarnya berlaku.

“Namun saya tidak tahu apakah yang berlaku ketika mesyuarat pemilihan calon berjalan kerana saya tidak menyertainya,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Nama Husam, Pengerusi Save Kelantan yang juga bekas Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan itu dikatakan tidak dicalonkan dalam pilihan raya umum kali ini.

Ini menyebabkan pimpinan AMANAH negeri dan pusat diserang oleh para penyokong Husam yang juga Ketua AMANAH Kota Bharu itu.

Kelantan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri dalam PRU kali ini ekoran musim banjir yang bakal mendatang.

Oleh itu, rakyat Kelantan hanya akan mengundi untuk kerusi Parlimen sahaja manakala kerusi DUN hanya akan diadakan pilihan raya selepas musim tengkujuh yang bakal melanda Kelantan bila-bila masa sekarang.