Malaysia Dateline

Husam letak jawatan, bukan tak puas hati dengan Presiden

Perletakan jawatan Datuk Husam Musa sebagai Naib Presiden AMANAH adalah bagi membolehkan beliau memberi tumpuan kepada usaha memenangkan kerusi parti itu di Kelantan khasnya di kawasan Parlimen Kota Bharu yang diketuainya.

Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad menegaskan, segala dakwaan yang mengatakan perletakan tersebut kerana tidak berpuas hati dengan Presiden atau mana-mana pimpinan AMANAH sama sekali tidak berasas.

Sebaliknya katanya, ianya dilakukan demi melonjak dan mengukuhkan lagi kedudukan AMANAH di Kelantan, khususnya di Kota Bharu.

“Memandangkan kebolehan dan kemampuan beliau masih diperlukan di peringkat nasional, Jawatankuasa Nasional AMANAH mengambil keputusan untuk meminta beliau berperanan memantau dan bertindak sebagai penasihat kepada tiga biro AMANAH dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

“Tiga biro ini adalah Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi. Kertas cadangan berhubung peranan baharunya juga sedang disediakan untuk persetujuannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Husam pada minggu lalu dilapor telah menyerahkan peletakan jawatan kepada kepimpinan AMANAH selepas menyertai parti itu sejak Ogos 2016.