Malaysia Dateline

Husam mahu sayap bukan padi di Kada dikembangkan melalui inovasi

Inovasi terkini khususnya dalam bidang pertanian harus dijadikan lonjakan bagi mengembangkan sayap bukan padi di kawasan KADA sehingga seimbang dengan sayap perkembangan padi sendiri.

“Bila sektor padi dan bukan padi menjadi kuat baharulah Kada lebih perkasa untuk menaikkan taraf hidup rakyat,” kata pengerusi Kada Datuk Husam Musa ketika merasmikan Seminar Insentif dan Bantuan Pertanian di UITM Machang semalam.

Menurut Husam, tumpuan perlu diberi kepada aktiviti-aktiviti pertanian berinovasi bagi meningkatkan pendapatan petani dan menarik penggabungan industri tani dengan bidang lain seperti pelancongan dan teknologi maklumat.

“Kalau ada cadangan untuk membangunkan tapak agro tourism di kawasan Kada, saya akan lebih dulu luluskan berbanding cadangan tradisi,” katanya

Inovasi katanya bukan bermakna kita gunakan peralatan yang mahal dan mesin yang canggih tetapi inovasi bermaksud keluar daripada kaedah biasa yang selalu dilakukan.

“Saya kagum dengan seorang pemuda yang mengusahakan palet dari arang tempurung kelapa yang hanya menggunakan tong drum.

“Beliau sekarang menjadi seorang pengusaha yang berjaya,” katanya.

Dalam menghadapi persaingan pasaran, beliau berkata inovasi bukan sekadar bersaing untuk berebut memasarkan produk yang sama tetapi dari segi ekonomi kita perlu mencipta produk baru ciptaan sendiri.

“Misalnya sekarang di RTC Tunjong kita dilambakkan dengan produk dari Thailand yang dianggarkan berjumlah RM700 juta setahun.

“Mungkin kita tidak perlu berfikir untuk mengeluarkan barangan yang sama bagi menandingi apa yang sedia ada tetapi mewujudkan satu produk inovasi yang baru seperti contoh Halia Bentong yang disebut oleh pasukan penyelidik dari UITM sekejap tadi,” katanya.

Untuk rancangan masa depan Kada katanya, cadangan-cadangan yang disertakan dengan elemen inovasi akan menjadi keutamaan.

“Siapa yang bawa proposal untuk tanam bunga di batas tali air Kada atau mewujudkan laman agro tourism di kawasan itu, saya akan lebih dahulu pertimbangkan untuk diberikan geran khas.

“Begitu juga siapa yang nak ternak lembu Wagyu, atau sesiapa yang nak tanam tumbuhan seperti Indigo fera sejenis rumput ternakan boleh pergi ke Kada,” katanya.

Program sehari itu turut disertai agensi-agensi utama pertanian Kelantan seperti Agro Bank, Jabatan Pertanian, Fama, Nafas, Jabatan Veterinar dan Pusat Penyelidikan Pembasmian Kemiskinan UITM Kelantan.

Ahli lembaga Nafas Mohd Hishamuddin Ghazali dalam ucapan aluannya yakin Kelantan mampu bangkit sebagai sebuah negeri pertanian utama di negara ini.

“Reformasi pertanian yang kita sedang lakukan selepas kerajaan baru sekarang akan memberi tumpuan seluas-luasnya kepada seluruh lapisan rakyat untuk menyertai bidang pertanian.

“Kita akan mereformasi semua unit-unit pertanian khususnya melalui Pertubuhan Peladang untuk mengembalikan semula keupayaan pertanian kita bukan sekadar untuk memenuhi keperluan negara tetapi juga menjadi pemain penting antarabangsa sebagai pengeksport pengeluaran dari industri pertanian,” katanya.

Program ini mendapat sambutan luar biasa apabila jumlah kehadiran melebihi dua kali ganda dari sasaran penganjur.