Husam mampu bawa mesej AMANAH di Pantai Timur, kata Khalid

Husam mampu bawa mesej AMANAH di Pantai Timur, kata Khalid

Parti Amanah Negara (AMANAH) mempunyai hujahnya tersendiri mengapa Senator Husam Musa dilantik sebagai naib presiden parti itu bagi penggal 2019 hingga 2021 walaupun beliau tidak bertanding pada konvensyen baru-baru ini.

Ketua Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, Husam Musa dilihat mampu berperanan membawa mesej AMANAH di Pantai Timur.

Katanya, penglibatan beliau amat penting bagi meluaskan pengaruh AMANAH terutama di Kelantan yang diketahui umum sukar untuk ditembusi mana-mana parti.

“Insha Allah. Tapi bergantung juga kepada prestasi Husam selepas dilantik,” kata Khalid selepas diajukan pertanyaan sama ada pelantikan Husam diterima para perwakilan dan ahli AMANAH dengan hati terbuka.

Bercakap kepada Malaysia Dateline, Khalid juga menjelaskan Husam memainkan peranan penting ini kerana beliau sudah terkenal di Pantai Timur dan reputasi beliau sangat memberangsangkan dengan berlakunya peningkatan ahli parti itu khususnya di Kelantan.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu di dalam Konvensyen AMANAH baru-baru ini turut mendedahkan Kelantan antara negeri yang teramai ahli Pas yang menyertai AMANAH pada masa ini ekoran menolak Muafakat Nasional dan Umno.

Mohamad juga berasa terkejut apabila AMANAH Kelantan khususnya kawasan Pasir Mas mempunyai lebih 2,000 ahli baharu meskipun belum mempunyai cawangan di kawasan itu.

Selain Husam turut dilantik jawatan sama ialah Adun Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud bagi menggantikan Dr Hassan Bahrom yang kalah dalam pemilihan jawatankuasa Amanah Nasional.

Perbincangan dan pelantikan itu dibuat dalam mesyuarat AMANAH Nasional yang berlangsung di Wisma Amanah, Kuala Lumpur 10 Disember lalu.