Malaysia Dateline

AHmad Yakob

Husam MB Kelantan: Cadangan DAP tidak terkesan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, menyifatkan cadangan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, mencalonkan Datuk Husam Musa sebagai Menteri Besar Kelantan tidak memberi kesan kepadanya.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan sebaliknya memaklumkan rakyat Kelantan mampu membuat penilaian yang bijak sebelum memilih siapa yang lebih layak menjadi pemimpin di negeri itu.

“Kenyataan Kit Siang itu adalah perkara biasa dan petanda sesebuah parti mahukan kuasa. Perkara seperti ini sudah menjadi kebiasaan setiap kali menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

“Malah, perkara sama juga pernah disuarakan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Justeru, saya tidak tergugat dengan kenyataan seperti itu. Apapun saya pasti rakyat Kelantan bijak,” katanya seperti dilapor BH Online semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka PasKelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Ab Fattah Mahmood.

Pada majlis berkenaan, lebih 20,000 tetamu hadir memeriahkan sambutan Aidilfitri yang diadakan di pekarangan stadium terbabit bermula jam 11.30 pagi sehingga jam 3 petang. Kit Siang baru-baru ini mahu Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan jika tampuk pemerintahan negeri itu berubah dalam PRU akan datang.

Kit Siang berkata, pemilihan Husam dibuat bagi membawa perubahan besar kepada Kelantan yang selama ini diperintah oleh kepemimpinan PAS. Sementara itu, Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi berkata, pemilihan Datuk Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar adalah pilihan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

“Allahyarham Datuk Nik Aziz pun tidak memilih Husam sebagai Menteri Besar ketika hanyatnya. Jadi, saya berpendapat rakyat boleh berfikir sama ada bersetuju atau sebaliknya mengenai cadangan Kit Siang,” katanya seperti dipetik.