Malaysia Dateline

Husam persoal apa pendirian ‘hudud nyawa Pas’ selepas dah jadi kerajaan

Husam Musa

Pendirian Pas mengenai pelaksanaan hukuman syariah atau dikenali sebagai hudud yang sebelum ini diibaratkan nyawa parti tersebut kini menjadi tanda tanya.

Bekas Naib Presiden AMANAH, Senator Datuk Husam Musa menempelak pendirian Pas berhubung hukuman tersebut selepas menjadi kerajaan atau kemungkinan telah bertukar ganti dengan jawatan besar dan kekayaan dunia.

“Bukankah hudud nyawa Pas? Pas masih ada nyawa ke sekarang?

“Nyawa Pas boleh ‘digotel’ sesuka hati oleh pemimpin Pas? Sekejap on sekejap off?” soalnya merujuk pada loghat Kelantan, ‘gotel’ yang bermaksud menggentel adunan kuih menjadi bulat.

Untuk rekod, bekas Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Haron Din pada 2014 pernah menegaskan bahawa “hudud nyawa Pas dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang” walaupun wujud pertikaman lidah antara parti itu dengan DAP berkenaan hukuman itu.

Husam persoal apa pendirian hudud nyawa Pas selepas jadi kerajaan
Dah jadi kerajaan, Pas dilihat bisu padahal semasa bergelar pembangkang lantang mendesak pemerkasaan undang-undang syariah.

Mengulas lanjut, Husam turut membidas sikap Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat mengelak daripada menjawab isu hudud ketika pemimpin Perikatan Nasional (PN) mendakwa pemimpin Pas tidak lagi bercakap mengenainya selepas menjadi kerajaan.

“Nyawa Pas sudah ditukar dgn jawatan besar dan kekayaan dunia segelintir bergelar pemimpin?
Katanya ‘tumpu masalah bekalan air dan tandas bersih dulu’.

“Semasa Pas ‘mengamuk’ bawa Rang Persendirian 355, masalah bekalan air dan tandas bersih belum berlaku? Kena ‘press’ 355 sampai tak sempat tarik nafas?” bidasnya.

Pada 6 Mac lalu, Tuan Ibrahim yang merupakan Menteri Alam Sekitar dan Air ketika ditemui media di Kota Bharu dilapor mengelak daripada menjawab isu hudud sebaliknya meminta media menumpukan soalan terhadap isu air dan tandas sesuai dengan tujuan lawatan rasminya.

“Saya fikir kita selesaikan isu air dulu. Isu yang kita bawa kali ini adalah isu yang – walaupun orang sebut tandas – dari segi impak kesihatan ia sangat besar.

“Sebab itu kalau boleh kita fokus yang ini dulu,” dipetik Malaysiakini.

Pas sebelum ini dilihat galak mahu melaksanakan hudud dengan cadangan meminda Rang Undang-undang (RUU) 355 sehingga menuduh pihak yang menolak atau tidak menyokong RUU tersebut sebagai kafir harbi.

Sehubungan itu, Husam yang juga bekas Naib Presiden Pas dan mantan Exco kerajaan negeri Kelantan tersebut menegaskan kuasa yang dimiliki Pas dalam kerajaan sekarang adalah masa terbaik untuk pelaksanaan undang-undang Islam.

“Anugerah Allah Pas berkuasa sekarang bukan sebaik masa untuk luruskan pelaksanaan hukum syariah secara menyeluruh?

“Jika tidak sekarang, bila lagi? Sementara jargon Melayu-Islam masih terpakai.

“Atau dikenang di langit dan di bumi sebagai golongan hanya mempolitikkan hukum Allah dan penggotel-penggotel?” bidas Husam lagi.