Malaysia Dateline

Husam persoal projek loji mini AKSB kutip komisyen atau selesai masalah air

Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa hari ini mempersoalkan tujuh projek pembinaan loji mini Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang telah diperuntukan sebanyak RM40 juta.

Projek loji mini ini akan dibina di Teluk Mesira, Jelawat, Wakaf Bharu, Kadok, Kedai Buloh, Meranti Baru dan Ketereh.

Bagaimanapun, pada 7 Mac 2022 pula, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan Dan Utiliti Negeri Kelantan yang juga dan Pengerusi AKSB Datuk Azami Mohd Nor dilaporkan berkata sebanyak RM 49 juta diperuntukkan untuk membina tujuh loji mini tersebut dengan satu lagi pembinaan iaitu loji mini Telong.

Daripada pernambahan satu loji baru ini, menurut Husam peruntukan telah bertambah RM 9 juta.

“Adakah kosnya naik atau dinaikkan? Kalau naik, apa sebab naik?

“Kalau dinaikkan, kita faham sebabnya.

Husam persoal projek loji mini AKSB kutip komisyen atau selesai masalah air
Loji Teluk Mesira dikatakan memerlukan kos rawatan sangat tinggi kerana air bawah tanah berbau dan kandungan logamnya sangat tinggi

“Salahkah kalau AKSB bersikap telus memberitahu rakyat Kelantan kenapa berlaku perbezaan harga itu?” soal Husam.

Sehubungan itu, Husam turut mempersoalkan pelantikan kontraktor untuk projek mini loji ini sama ada dibuat secara tender terbuka atau tender runding dan apa syarat kelayakan bagi kontraktor yang nak dilantik.

Dalam masa yang sama Husam juga persoal apa hasil pembinaan loji mini tersebut dan mengingatkan jangan loji siap, air pula tidak ada.

“Jangan siap, air tak ada macam Loji Kg Telok menelan belanja RM 48.3 juta.

Husam Musa

“Bila dilakukan secara ‘tender runding’, apa jaminan kontraktor paling layak yang dipilih? Nepotisma boleh berlaku. Macam-macam boleh berlaku, termasuk pengaturan rasuah,’ katanya.

Bahkan beliau difahamkan salah satu loji mini tersebut diberikan kepada sebuah syarikat yang tidak ada pengalaman membina loji rawatan air sebelum ini di mana bidang perniagaan utamanya adalah membuat alat pencuci.

“Ikut syarat kontrak, kontaktor ini sepatutnya siapkan loji mini pada April 2021, iaitu setahun yang lalu.
Ikut laporan, sehingga sekarang ia belum disiapkan,” kata Husam.

Justeru, beliau menggesa AKSB mengeluarkan penjelasan tentang kelayakan tiap-tiap satu kontraktor yang dilantik.

“Penjelasan masuk akal boleh menghapuskan keraguan. Ketelusan boleh menghasilkan hasil yang diharapkan,” katanya lagi.

Baca juga: Isu berlarutan air Kelantan: Menteri boleh buka semula laporan dibentang Husam