Malaysia Dateline

Husam potong elaun Senator bermula gaji Januari bantu frontliner

Senator Datuk Husam Musa bersedia memotong elaun selaku Ahli Dewan Negara bermula dengan gaji bulan Januari ini sebanyak RM1,000 sebulan bagi membantu petugas barisan hadapan.

Husam berkata, derma itu sebagai tanda kebersamaan terhadap ‘doktor dari Hospital Sg Buluh’ yang mungkin mewakili petugas kesihatan di semua hospital di seluruh negara.

“Saya dengan rendah hati akan menderma sebanyak RM 1,000.00 sebulan dari elaun selaku Ahli Dewan Negara bermula dengan gaji bulan Januari sehingga wabak Covid 19 ini reda, dengan pertolongan Allah InsyaAllah,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu surat diutuskan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas terkesan dengan satu surat terbuka seorang doktor yang bertugas di Hospital Sg Buluh.

Menurutnya, wang tersebut akan salurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk digunakan bagi tujuan tersebut dengan sewajarnya.

Husam yang juga Ketua AMANAH Kawasan Kota Bharu menggesa Muhyiddin Yassin menggunakan wang potongan peruntukan anggota Dewan Negara dari Pakatan Harapan (PH) bagi membantu keperluan hospital dan barisan hadapan dalam menangani wabak Covid-19.

“Saya percaya, wang peruntukan itu agak besar jumlahnya kerana sebahagian besar kami Ahli Dewan Negara dari PH belum sempat membelanjakannya kerana baru saja diluluskan pada waktu itu.

“Saya berharap YAB boleh menggunakan baki peruntukan kami itu untuk meningkatkan kebajikan atau keperluan perubatan semua hospital-hospital di seluruh negara, jika tidak pun dipulangkan kepada kami sebahagian darinya untuk kami juga berkhidmat kepada rakyat dengan sewajarnya.

“Jika YAB masih terpanggil untuk berlaku adil atas perentah Allah, adalah wajar semua Ahli Dewan Negara diberikan kemudahan yang sama dan boleh diletakkan syarat tambahan bahawa peruntukan itu hanya boleh disalurkan kepada sektor dan pihak yang terkesan dengan wabak Covid 19 dan untuk bersama-sama menjaga kebajikan semua pihak yang terkesan dari wabak ini, termasuk rakyat yang miskin dan menderita.

“YAB harus ingat, keberkesanan mengatasi wabak ini juga mesti datang bersama pertolongan dan keberkatan dari Allah.

“Keberkatan dan pertolongan Allah sentiasa bersama orang-orang yang berlaku benar, adil dan jujur serta menghormati hak setiap yang berhak dengan penuh rasa takut pada Pembalasan Allah atas sebarang kegelinciran dari itu.

“Sebagai akhirnya, sekali saya mencadangkan kepada YAB menurunkan peruntukan yang segera dan mencukupi untuk menyediakan kemudahan yang sepatutnya di semua hospital-hosital di seluruh negara bagi tujuantujuan kebajikan mereka,” ujar beliau.

Dalam surat terbuka yang bertajuk ‘Tolong layan kami dengan manusiawi’ – doktor berkenaan telah mengadu tekanan yang dihadapi oleh petugas kesihatan yang sangat wajar diberikan perhatian segera.

Antara rungutannya ialah mengenai ketiadaan fasiliti yang sesuai seperti bilik rehat dan penyediaan makanan semasa bertugas syif-on call atas alasan kekurangan dan pemotongan peruntukan oleh Kerajaan Malaysia.

Tegas Husam, ia akan memberikan kesan kepada moral dan kemampuan mereka sebagai manusia bukan robot, untuk terus kekal kuat, sihat dan bersemangat bagi meneruskan tugas berat sebagai petugas barisan hadapan dalam usaha menangani wabak Covid 19 kini.

“Dalam mana-mana medan, tumbangnya pasukan petugas hadapan akan memberikan akibat buruk yang fatal. Isu-isu kebajikan petugas kesihatan dan lain-lain petugas barisan hadapan juga seperti polis dan tentera, hendaklah diberikan keutamaan,” katanya.