Husam puji manifesto Pas di Sarawak, mahu turut digunapakai dalam parti

Husam puji manifesto Pas di Sarawak, mahu turut digunapakai dalam parti

Yang Dipertua Pas Kubang Kerian, Dato’ Husam Musa memuji manifesto Pas dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang memasukkan “semak dan imbang” dalam peranan di Dun sekiranya dipilih rakyat namun mahu pendirian itu digunapakai sepanjang masa termasuk urusan dalaman parti.

“Apabila saya memberi pandangan berbeza berkenaan apa yang berlaku dalam parti maknanya saya memainkan peranan “semak dan imbang” maka harus diterima dengan terbuka dan bukannya terus diugut untuk diambil tindakan dan diperlekehkan dengan pelbagai cara,” katanya dalam ceramah kempen selamatkan Malaysia di Rantau Panjang malam tadi.

Maksud semak dan imbang juga menurut beliau ialah terus menerus menegur kerajaan bila berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa yang pasti merugikan rakyat dan negara.

“Ketika negara berada dalam keadaan tertekan dengan penyelewengan besar seperti skandal 1MDB sekarang, kita sebagai orang Islam yang diberi amanah perlu bangkit menyatakan penentangan terhadap kemungkaran yang berlaku,” katanya.

Menurutnya usaha kempen tandatangan deklarasi rakyat sekarang katanya harus disertai semua pihak kerana selain bertindak bagi pihak rakyat tertindas ini adalah kewajipan agama.

“Islam ajar kita bila kita melihat kemungkaran, mesti dicegah dengan keupayaan yang ada pada kita,” katanya.

Beliau bagaimanapun hairan hadis tentang mencegah kemungkaran ini semakin kurang didengar kebelakangan ini.

“Bila berhadapan kemungkaran kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Najib sekarang ada pihak yang memberi pelbagai alasan untuk tidak bersama rakyat yang ingin menghentikan kemungkaran besar dengan menurunkan beliau sebagai perdana menteri,” katanya.

Ada pula katanya membawa hujah kononnya tidak syari’e menurunkan perdana menteri sebelum tempohnya tamat.

“Dalam amalan negara ini, Tunku Abdul Rahman, Tun Husein Onn dan Tun Abdullah Badawi telah berhenti sebelum tiba waktu pilihan raya, mengapa pula bila rakyat mahu Najib turun sekarang ada yang mengaku Islam berkata tidak boleh,” katanya.

Beliau turut menceritakan kisah Hilful Fudhul di mana baginda Nabi SAW sewaktu muda dan belum dilantik menjadi rasul telah menyertai satu deklarasi tokoh-tokoh Mekah untuk membela golongan yang ditindas pembesar Mekah.

Menurutnya, apabila berlaku perbuatan merosakkan rakyat dan negara kita tak boleh bertangguh kerana membiarkan mereka yang berkuasa melakukan jenayah dan kemungkaran akan menyebabkan kerosakan yang besar.

Gerakan Selamatkan Malaysia yang kini disertai semua pihak yang prihatin dari pelbagai parti dan kumpulan menurut beliau akan terus menerus dibuat dengan pelbagai cara hingga rakyat bebar-benar terbela.

“Sekarang kita mahu setiap orang menurunkan tanda tangan deklarasi ini untuk diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong supaya menasihati Najib supaya turun dan memenuhi tuntutan-tuntutan rakyat yang mahukan keadilan terlaksana,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)