Husam sedia beri bantuan guaman pertahan pembesaran Masjid Telipot

Husam sedia beri bantuan guaman pertahan pembesaran Masjid Telipot

 Datuk Husam Musa

Adun Salor Datuk Husam Musa akan menyediakan bantuan guaman kepada penduduk sekitar Masjid Telipot yang kini diancam pembangunan kondominium mewah di atas lot bersebelahan masjid berkenaan.

 Beliau yang juga Penasihat Amanah Kelantan berkata, tindakan kerajaan negeri melakukan majlis pecah tanah di atas lot kosong bersebelahan Masjid Telipot hari ini, dakwanya, sudah melanggari konsep ‘Merakyat Membangun Bersama Islam’ oleh kerajaan negeri Kelantan.

Projek pembinaan kondominium 24 tingkat yang dirancang oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK) berhampiran masjid berkenaan telah mendapat bantahan Persatuan Penduduk Kejiranan Raja Dewa sejak dua tahun lalu yang mana 300 ahlinya mengadakan bantahan terhadap projek yang dirancang YIK dan kerajaan negeri.

Kelulusan Pelan Bangunan Kondominium yang di pohon oleh YIK dan diluluskan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) itu di pohon di atas lot Masjid Telipot itu sendiri iaitu Lot 265 yang diluluskan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu pada 20 Ogos 2014 dan kebimbangan penduduk sekitar projek kondominium itu akan mengganggu bahagian-bahagian tertentu dalam kawasan Masjid Telipot.

“Ternyata Kerajaan Kelantan telah hilang kompas akhlak dan konsep Merakyat Membangun Bersama Islam hanya slogan penglipur lara semata-mata.

“Adakah kondo di atas lot bersebelahan masjid lebih aula dari pembesaran masjid, sedangkan itu sahaja tanah kosong yang ada?

“Adakah projek komersial bermatlamatkan keuntungan lebih diutamakan dari pembesaran masjid yang diketahui umum telah sesak, baik dari segi ruangan solat mahu pun kawasan letak kereta?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutt Husam lagi, Jawatankuasa Penduduk mencadangkan membuat kutipan derma untuk membayar harga tanah setimpal dengan nilai pasaran.

Sedangkan tanah itu bukan dipohon percuma tetapi dibayar kepada Kerajaan sudah tentu ujarnya lagi, Kerajaan tidak kehilangan apa-apa.

“Bantahan penduduk telah tidak diambil kira. Menggambarkan Kerajaan yang ada tidak mengikut prinsip Islam yang mengutamakan permesyuaratan dan mendengar pandangan kedua pihak-pihak yang terlibat seperti yang dikehendaki oleh Islam,” ujarnya.

Malah Husam berpendapat cadangan pembinaan kondominum itu melanggar beberapa peraturan seperti tidak membatalkan semula penggazetan sebagai zon pendidikan seperti mana Rancangan Tempatan Kota Bharu 2020.

“Penggazetan semula itu memerlukan pameran awam untuk tujuan bantahan.

“Setakat pengetahuan kami, urusan ini tidak dilakukan. Selain itu, kemungkinan wujudnya pertindihan kepentingan kerana Ahli Lembaga YIK yang menjadi tuan punya tanah selepas Kerajaan menganugerahkan kepadanya adalah orang yang sama yang duduk dalam Lembaga PKINK

“Saya selaku Adun yang dirujuk untuk bantuan pendapat dan buah fikiran bagi isu ini oleh penduduk kampung InsyaAllah, akan membantu mendapatkan pandangan undang-undang bagi membolehkan penduduk kejiranan Masjid Telipot mengambil apa-apa tindakan bersesuaian bagi mempertahankan hak Ahli Qariah Masjid Telipot mendapatkan lot berkenaan bagi pembesaran Masjid Telipot yang sedia ada,” ujarnya.

Beliau turut berkata sumbangan yang pernah diberikan oleh pemaju sejumlah RM500 kepada Jawatankuasa Agama Masjid Telipot adalah satu penghinaan kepada kemuliaan masjid itu.

Pada 2015 Jawatankuasa Penduduk pernah mengadakan protes mengenai pembinaan kondominium diatas tapak berhampiran Masjid Telipot.

 

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)