Husam terima berita dipecat dengan linangan air mata

Husam terima berita dipecat dengan linangan air mata

Bekas naib presiden Pas, Datuk Husam Musa menerima berita bahawa beliau sudah dipecat dari Pas oleh Jawatankuasa Tatatertib parti itu dengan linangan air mata.

 

Bekas naib presiden Pas, Datuk Husam Musa menerima berita bahawa beliau sudah dipecat dari Pas oleh Jawatankuasa Tatatertib parti itu dengan linangan air mata.

“Menerusi whatssap dan sms, saya dikhabarkan oleh sumber-sumber tidak rasmi, saya telah dipecat dari Pas pada hari ini.

“Tanpa saya sedari, air mata saya menitis. Sebak bercampur pilu,” tulis Husam yang meluahkan perasaannya melalui Facebook beliau selepas menerima keputusan beliau dipecat dari Pas.

Husam dipecat dari Pas oleh Jawatankuasa Tatatertib parti itu 24 April lepas. Namun ia hanya dimaklumkan secara rasmi hari ini oleh pengerusinya Dr Sanusi Daeng Mariok melalui satu kenyataan yang disiarkan Harakahdaily, laman rasmi Pas.

Menurut Husam, di pagi Jumaat yang agung dan mulia, di akhir bulan Rejab yang mengandung pelbagai rahsia Ilahi, sehari selepas peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang penuh dengan pelajaran bagi orang Islam dan pejuangnya yang telah dijalani oleh Nabi berakhlak mulia, “hati saya tengah pilu merenung peristiwa kehilangan heli di Sarawak – ketika tiba-tiba telefon saya tak putus-putus berdering.”

Tulis Husam, di tahun 1982, beliau menyertai Pas dan seperti kebanyakan anak muda mana jua – dulu dan kini – mereka serahkan sepenuhnya jiwa raga pada apa yang mereka fikirkan sebuah perjuangan suci – membawa obor Islam menerangi kehidupan – termasuk bernegara.

“Islam yang komprehensif atau syumul, termasuk hak untuk menegur, mengkritik dan bersuara kepada para pemimpin selagi mana teguran itu adalah berasaskan kebenaran dan kejujuran.

“Seperti bebasnya Saiyidina Abu Bakar, Umar dan pemimpin agung Islam yang lain ditegur dan dimuhasabah, hatta oleh rakyat kerdil sekali pun,” tulis Husam.

Begitu juga, semak dan imbang seperti janji Pas dalam PRN Sarawak sekarang.

“Namun, saya hanya insan kerdil. Jika Nabi yang agung pun dilanda sejuta penderitaan dan itu lah latar untuk baginda dihiburkan dgn di Mi’rajkan menemui Kekasihnya di Sidratul Muntaha – usah lah engkau terlalu bergundah hati.

“Mungkin ada hikmah yg sedang menanti,” katanya lagi sedih dengan apa yang berlaku dalam partinya.

Bagi Adun Salor, Kelantan itu, apa yang telah berlalu, moga kekal dalam simpanan Ilahi dan tidak perlu diungkit lagi.

“Kepiluan yang engkau jalani, sangat kecil berbanding pejuang lain.

“Kepada kawan dan teman serta rakan media, suka saya nyatakan di sini, saya hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas saya mendapat pemakluman rasmi mengenai tindakan yang diambil ke atas saya.

“Sehingga waktu ini, saya belum menerima pemakluman rasmi mengenainya,” katanya.

Untuk itu, katanya, beliau tetap akan hadhir pada mesyuarat agung Pas Kawasan Kubang Kerian yang dijadualkan esok.

“Semoga Sya’ban dan Ramadhan meningkatkan lagi ketaqwaan dan kejayaan perjuangan kita dan idealisme Islam yang didokong selama ini.

“Moga Allah sentiasa membimbing kita semua,” kata Husam.

TAGS