Husam terima surat pemecatan, minta presiden Pas tarik balik

Husam terima surat pemecatan, minta presiden Pas tarik balik

Bekas naib presiden Pas Datuk Husam Musa telah menerima surat pemecatan beliau daripada Pas dan telah menulis surat khusus kepada presiden Pas meminta pemecatan beliau dibatalkan.

Bekas naib presiden Pas Datuk Husam Musa telah menerima surat pemecatan beliau daripada Pas dan telah menulis surat khusus kepada presiden Pas meminta pemecatan beliau dibatalkan.

“Hujah-hujah yang dinyatakan dalam surat pemecatan itu ada beberapa perkara yang sama sekali tidak dapat diterima dan saya yakin kalau presiden Pas menelitinya beliau patut membatalkan pemecatan saya,” kata Husam pada satu sidang media di rumahnya hari ini.

Menurutnya, beliau tidak mencabar parti kerana memecat beliau tetapi hujah-hujah yang dijadikan sebab pemecatan adalah tidak benar dan sebahagiannya mungkin bercanggah dengan undang-undang.

“Misalnya satu ucapan saya di Kedai Mulong telah digunakan sebagai hujah untuk menyatakan saya bersalah, sedangkan bila saya teliti semula transkrip ucapan itu ia sama sekali tidak betul seperti dinyatakan dalam pertuduhan,” katanya.

Satu lagi contoh pertuduhan kononnya beliau bersalah kerana menjadi saksi di mahkamah berkaitan saman  satu syarikat terhadap kerajaan Kelantan berhubung pembatalan kontrak pembinaan lebuhraya.

“Saya sama sekali tidak memohon jadi saksi, penetapan saya jadi saksi kes diputuskan pihak mahkamah dan sudah tentu dalam makluman pihak plaintif dan defendan.

“Bila pihak mahkamah berpuas hati saya wajar dipanggil sebagai saksi saya disapina untuk hadir dan tentu saya tidak boleh ingkar kerana ia telah menjadi kewajipan undang-undang,” katanya.

Adalah pelik katanya apabila kehadiran beliau di mahkamah kerana mengikut ketetapan undang-undang dijadikan bahan bukti kepada parti Pas untuk memecatnya.

Beliau mengingatkan pihak Pas bahawa sekiranya pemecatan beliau tidak dibatalkan perkara ini terpaksa dibawa ke mahkamah.

“Saya memang tidak ada hak untuk persoal pemecatan saya di mahkamah, tapi sebab pemecatan itu jelas mengandungi unsur fitnah dan saya sedang berunding dengan peguam untuk membuat saman malu (defamation suit),” tegasnya.

Husam turut menegaskan beliau sedia melepaskan jawatan Adun Salor dengan syarat Pas membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi membenarkan wakil rakyat yang meletak jawatan boleh bertanding semula.

Beliau turut mendakwa, tindakan Pas ‘mendera’ beliau apabila meminta melepaskan jawatan Adun Salor selepas baru sahaja memecat daripada ahli Pas.

“Pada saya ini adalah penderaan berkali-kali, kamu sudah dera dan pecat, mungkin ada motif politik pecat saya, dan kemudian bila saya dipecat saya kena letak jawatan tak boleh bertanding,

“Jadi Pas telah mendera saya sebanyak dua kali, saya bersedia letak jawatan tapi kalau saya letak jawatan tak boleh bertanding macam mana saya nak lawan,” katanya.

Majlis kesyukuran yang mengorbankan seekor lembu dan seekor kerbau di rumahnya di Salor hari ini, dihadiri pelbagai lapisan masyarkat temasuk pemimpin Pas pelbagai peringkat.

TAGS