Hutan di Terengganu musnah punca kemunculan harimau berpenyakit, beruang matahari

Hutan di Terengganu musnah punca kemunculan harimau berpenyakit, beruang matahari

Eksploitasi kawasan hutan di Terengganu sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menyebabkan kemusnahan habitat hidupan liar dan mendatangkan simptom penyakit terhadap haiwan terbabit.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, antara faktor yang menyebabkan kemusnahan habitat hidupan liar di negeri itu ialah pemansuhan kawasan hutan simpan kekal (HSK) dan kegiatan perlombongan berskala besar dalam HSK.

Sebagai contoh, jelasnya, kerajaan negeri Terengganu sekitar tahun 2015 telah meluluskan kegiatan perlombongan melibatkan kira-kira 2,553.2 hektar di Hutan Simpan (HS) Besul Tambahan.

Untuk rekod, sebanyak 656,550.1 hektar atau 51 peratus daripada keluasan negeri Terengganu merupakan kawasan berhutan mengikut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Negeri Terengganu 2017 Siri 1.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kematian harimau belang yang ditangkap selepas berkeliaran di sekitar Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun serta penemuan seekor beruang matahari dalam perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) di Kampung FELDA Belara, di Terengganu hari ini.

Meor Razak Meor Abdul Rahman

Menurut Meor Razak, insiden kemunculan spesies Harimau Malaya dan beruang matahari itu memang relevan dengan kadar kemusnahan kawasan hutan di Terengganu.

“Terkini pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan) berskala besar dalam HSK,” ujarnya.

Di HS Jerangau, katanya, mahu dijadikan ladang hutan komersial seluas 5,000 hektar.

Sehubungan itu, beliau berharap sebarang bentuk pemusnahan HSK diberhentikan memandangkan kerajaan negeri Terengganu menerima royalti daripada kerajaan pusat berdasarkan perjanjian agihan yang telah ditandatangani di antara kedua-dua belah pihak pada 1974.

“Dah dapat royalti pun masih nak eksploitasi sumber hutan secara rakus,” bidasnya lagi.

Untuk rekod, kerajaan pusat telah melakukan tiga kali pembayaran secara terus kepada kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan RM450 juta selepas berakhir pilihan raya umum (PRU) Ke-14 tahun lalu.

Berkenaan pengurusan hutan di Terengganu, LKAN 2017 mendapati pengurusan hasil pembalakan secara keseluruhannya tidak cekap selain mendedahkan penggantian kawasan HSK hanya 103.8 hektar atau 1.2 peratus daripada 8,507.30 hektar HSK yang diwarta keluar.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Dr. Ahmad Ismail dilapor berkata, konflik antara manusia dan harimau di kawasan HS Jerangau sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu.

Menurutnya, populasi harimau di habitat liar di Semenanjung kini kurang 200 ekor dengan hampir 90 peratus habitat yang sesuai untuk harimau berada di Pahang, Perak, Kelantan dan Terengganu manakala Perlis, Melaka dan Wilayah Persekutuan tiada lagi habitat untuk spesies yang dilindungi sepenuhnya itu.

Sehubungan itu, Dr. Ahmad menegaskan percanggahan polisi kerajaan perlu dielak dengan memastikan habitat harimau dijaga dan dilindungi, tiada program penerokaan atau penebangan hutan dan penanaman pokok lain untuk komersial.