Malaysia Dateline

‘Hutan miskin’ jadi lesen musnahkan hutan simpan, bidas aktivis

 

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berpendapat penggunaan istilah ‘hutan miskin’ sudah menjadi alasan lazim untuk menghalalkan pemansuhan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sekali gus kemusnahan kawasan hutan semulajadi.

Menurutnya, istilah hutan miskin atau hutan rosot tidak sewajarnya timbul jika aspek penguatkuasaan undang-undang dan punca kerosakan terhadap HSK dapat ditangani sejak awal lagi oleh pihak berkuasa negeri.

“Istilah hutan miskin seperti jadi satu lesen untuk menyahwartakan HSK. Padahal, iklim tropika negara ini panas dan lembap sepanjang tahun hujan sepanjang tahun.

“Kita bukan macam negara lain seperti Amerika Syarikat dan Australia yang cuacanya ekstrem. Bila ekstrem hutan di negara luar terbakar.

“Malaysia ini kalau hutannya terbakar kerana kecuaian manusia. Hutan kita bukan sewenang-wenangnya boleh terbakar secara semulajadi,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Meor Razak Meor Abdul Rahman

Sehubungan itu, Meor menegaskan kekayaan hutan bergantung pada pengurusan yang baik.

“Manusia perlu urus dengan baik, tidak mencerobohi atau tidak usik hutan. Saya pernah bangkitkan soal ‘hutan miskin’ ini ketika mereka sibuk mahu buat ladang hutan. Alasan mereka ‘hutan miskin’.

“Saya persoal seorang Pengarah Perhutanan sebuah negeri, mengapa guna istilah hutan miskin.

“Jawabnya sebab kawasan itu dicerobohi Orang Asli. Padahal, berapa sangatlah luas kawasan yang Orang Asli gunakan pun.

“Alasan itu hanya untuk menghalalkan tindakan menyahwartakan HSK yang kemudiannya nanti berlakulah penebangan ‘cuci mangkuk’,” bidasnya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas 930.93 hektar (2,300 ekar) bertujuan untuk projek pembangunan bercampur.

https://malaysiadateline.com/lapan-sebab-mengapa-perlu-bantah-pemansuhan-hutan-simpan-kuala-langat-utara/

Cadangan pemansuhan sebanyak 97 peratus daripada keluasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) menggemparkan ramai pihak.

Ganti hutan

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, 40 peratus HSKLU sudah rosak disebabkan kebakaran dan pencerobohan serta tidak lagi mempunyai elemen hutan lama atau hutan dara.

Oleh itu, beliau ketika sidang media di Shah Alam hari ini berkata, kerajaan negeri berpendapat itu sesuai dimajukan seiring dengan pembangunan sekeliling selain turut terbabit dalam jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Malah, kata pemimpin PKR itu, kerajaan negeri akan menggantikan kawasan HSKLU yang dimansuhkan itu dengan hutan yang bersesuaian seluas 1,092.65 hektar selain akan mengekalkan jenis hutan dan ekosistem yang hampir sama seperti hutan simpan tersebut iaitu jenis hutan paya gambut.

Amirudin turut menafikan dakwaan masyarakat Orang Asli Temuan bahawa mereka mempunyai dokumen tahun 1927 yang memberikan mereka hak milik ke atas tanah seluas 7,200 hektar di kawasan HSKLU.

Katanya, rekod hitam putih yang ada pada kerajaan negeri hanyalah tanah rayau bagi Orang Asli.

Beliau berkata, isu mengenai perkampungan Orang Asli tidak harus dibangkitkan kerana kerajaan negeri sudah mengeluarkan perkampungan tersebut daripada rancangan pemansuhan HSK itu.

Jelasnya, kerajaan negeri memperuntukkan 404.68 hektar kawasan hutan itu yang menjadi perkampungan Orang Asli manakala mengenai tanah perkuburan suku Temuan pula, pihaknya akan mengkaji semula kawasan tersebut dan akan mengeluarkan jika boleh.

Tambahnya, proses pemansuhan warta HSKLU seluas 930.93 hektar itu kini di peringkat pendengaran awam iaitu proses kedua daripada lapan proses secara keseluruhan dan akan berakhir pada 5 Mac depan.

Sehubungan itu, Amirudin menegaskan polemik di peringkat media sosial sahaja tidak harus timbul sebaliknya proses bantahan selama sebulan itu diajukan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Untuk rekod, Selangor melaksanakan dasar moratorium ke atas aktiviti pembalakan iaitu pengeluaran dalam kawasan HSK selama 25 tahun berkuat kuasa pada 2010 hingga 2035.

Sehingga 30 Jun 2017, keluasan HSK di Selangor adalah kira-kira 250,209 hektar dengan anggaran lebih kurang 31 peratus daripada keluasan negeri.

Kerajaan Negeri tahun lalu dilapor komited meningkatkan jumlah keluasan HSK menjelang 2020 sehingga melebihi 250,500 hektar atau 31.6 peratus berbanding keluasan tanah Selangor.

Projek pembangunan di Hutan Simpan Kuala Langat Utara jika diteruskan akan memusnahkan beberapa spesies haiwan jarang ditemui seperti Tupai Terbang Terkecil Selangor (Petaurillus kinlochii).