Malaysia Dateline

Hutan musnah undang musibah tapi hasil cukai lesap

Perjalanan yang mengambil jarak masa selama tiga jam telah membawa ke suatu destinasi sempadan timur negeri Johor. Tiada jalan yang ditar hanya jalan tanah merah yang terpaksa ditempuhi untuk memasuki kawasan tersebut.

Bertemankan lori-lori besar, akhirnya destinasi yang dituju telah sampai sudahnya. Hutan Simpan Mersing dan Lenggur yang kini dilihat gondol oleh kerana kerja-kerja pembalakan yang berlaku di kawasan tersebut telah merentap hati dan mata pandang.

Pokok-pokok yang tidak sampai sepemeluk pun turut menjadi mangsa korban pembalakkan dan ia telah mengundang pertanyaan ‘apakah ini sah dari segi undang-undang pembalakkan?’

Ternyata apa yang dikemukakan itu menjadi persoalan yang besar kerana pokok sekecil itu adalah aset pada masa akan datang untuk kelestarian hutan simpan.

Selain itu, habitat hidupan yang berada di hutan berkenaan pastinya akan terganggu dengan penebangan ala ‘beruk dapat bunga’ ini. Pastinya bagi sesetengah masyarakat umum kurang menyedari keadaan ini kerana berlaku dalam persekitaran hutan yang tebal.

Ketika lawatan itu, saya telah ditemukan dengan seorang pelapor yang tidak berpuas hati dengan keadaan pembalakan yang dalam hutan berkenaan.

Dalam laporan yang diterima, lebih ratusan hektar malah jika dicampurkan dengan semua kawasan pembalakan ia boleh mencecah puluhan ribu hektar tidak dipantau dengan baik oleh pihak kerajaan.

Sebagai contoh, kawasan pembalakan (compartment 148B) yang melibatkan hampir 300 hektar kawasan pembalakan tidak menjalankan kerja-kerja pembalakan yang mengikut prosedur secara berhemah malah ada di antara kerja yang dilakukan di kawasan itu lebih mencurigakan.

Menurut sumber itu lagi, wujud permasalahan apabila aduan yang dihantar kepada pihak berkuasa dipandang ringan. Namun usaha pelapor ini masih tidak berkesudahan dengan cuba membawa perkara itu kepada pihak kerajaan negeri (semasa pentadbiran BN) namun keputusannya tetap menghampakan.

Sehingga kini usaha pelapor itu masih tidak dipastikan mampu untuk menghalang perkara untuk menyelamatkan hutan simpan yang semakin gondol itu. Kerajaan negeri di bawah pentadbiran PH juga seperti naif kerana masih membiarkan perkara ini terus berleluasa tanpa ada sebarang tindakan tegas.

 

Pendapatan kerajaan negeriĀ 

Dalam sidang Dun Johor Ogos tahun lalu, Adun dari Senggarang pernah membangkitkan soal ketirisan pendapatan yang berlaku dalam isu pembalakan di negeri ini. Beliau telah mempersoalkan kkerajaan negeri berkenaan terdapatnya maklumat konspirasi pembalakan yang tidak mengikut piawaian sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan.

Beliau turut menyatakan kerajaan negeri kerugian lebih ratusan juta ringgit ekoran kelemahan penguatkuasaan di bawah jabatan-jabatan yang diberikan tanggungjawab terhadap hasil hutan.

Selain penebangan pokok kayu yang tidak bertanda serta dikeluarkan dalam keadaan ‘gelap’, hal yang berbangkit juga adalah berkenaan dengan cukai yang tidak dibayar oleh pihak pembalak. Dari situlah terdapatnya ketirisan yang merugikan kerajaan negeri.

Terdapat responden dari pencinta alam sekitar yang memberi maklumat kepada saya turut menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dengan mendesak kerajaan negeri untuk mengambil langkah secara proaktif dalam menangani permasalahan pembalakan yang berlaku ini.

Bagi pencinta alam pula, mereka lebih tertumpu kepada usaha menyelamatkan alam sekitar dan antara yang dibangkitkan ‘sampai bila penggondolan hutan ini harus dibutakan oleh pihak kerajaan tanpa sebarang tindakan?’ Ini adalah persoalan yang berbangkit dan mereka juga turut mengaitkan kemusnahan hutan dengan bencana alam sekitar seperti banjir dan sebagainya.

Selain itu, terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa penanaman semula anak-anak pokok kayu tidak dibuat selepas penebangan dilakukan sekali gus telah membunuh keberlangsungan hutan yang telah diteroka.

Sepatutnya setiap penebangan yang dilakukan perlu disusuli penanaman semula anak-anak pokok bagi menjaga kelestarian hutan untuk tatapan generasi akan datang serta menjaga struktur alam dari bencana yang tidak diundang.

Dari itu kerajaan negeri di bawah pentadiran PH perlu mengambil langkah yang sistematik dalam menguruskan soal ketirisan, prosedur, piawaian dan sebagainya bagi mengetatkan lagi pengeluaran balak sekali gus menyelamatkan alam sekitar.

Selain itu, pihak kerajaan juga perlu mengambil langkah dalam kadar segera bagi mengheret mereka yang bersubahat dalam isu melepaskan balak-balak secara gelap ke muka pengadilan sebagai tanda kerajaan menolak sebarang salah laku kuasa atau rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Kerajaan pada masa yang sama perlu meningkatkan hasil pendapatan yang sepatutnya menjadi hak rakyat di negeri ini untuk diagihkan kerana rakyat sebelum ini telah memberi harapan kepada kerajaan yang baharu untuk menyelesaikan perkara berbangkit seperti ini.

Ketirisan ini akan merugikan bukan sahaja kerajaan malah rakyat. Duit yang hilang sebelum ini perlu dikembalikan kepada rakyat dengan memberikan mereka pelbagai kemudahan serta bantuan yang diperlukan.

Selain itu kekhuatiran akibat dari ketirisan ini bakal mengundang pelbagai musibah oleh kerana hutan simpan adalah tempat tadahan air hujan. Bayangkan apa yang akan terjadi jika tempat tersebut dimusnahkan tanpa diberi perhatian yang baik oleh pihak yang bertanggungjawab.

Sebelum ini berlakunya peristiwa seperti di Sungai Kim Kim yang membabitkan alam sekitar adalah suatu iktibar kepada kerajaan untuk mencegah dari sebarang kekalutan. Usahlah berpegang pada falsafah ‘dah terhantuk baru nak terngadah’.