Malaysia Dateline

‘Hutan sampah’: JAS digesa ambil tindakan terhadap Majlis Perbandaran Manjung

Timbunan sampah di Teluk Mengkudu dengan dilatari Hutan Simpan Segari Melintang yang sedang diancam projek kuari.

 

Lokasi tapak pembuangan sampah dikelilingi Hutan Simpan Segari Melintang yang hampir dengan Selat Melaka.

Timbunan sampah saujana mata memandang. Tiada kolam rawatan larut resapan dengan air sampah hitam likat dipercayai mengalir masuk ke Selat Melaka.

Itu keadaan jelek yang dilihat wujud di kawasan bekas sebahagian Hutan Simpan Segari Melintang di daerah Manjung dalam tinjauan tengah hari kelmarin.

Tiga tahun lalu juga, Malaysia Dateline telah turun menyaksikan operasi pelupusan sampah secara haram melalui kaedah konvensional iaitu lambakan terbuka (open dumping) itu.

Tinjauan bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) kali ini mendapati keadaan semakin parah dengan sebahagian tapak sampah lama setinggi kira-kira enam meter sudah dikambus tanah.

Tapak bersebelahannya pula sedang ditimbuni sisa pepejal dengan lori bersilih ganti sibuk keluar masuk di tanah milik kerajaan negeri dalam mukim Pengkalan Baharu itu.

Penulis bersama Meor Razak di tapak pelupusan sampah dalam kawasan bekas Hutan Simpan Segari Melintang.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, tapak pelupusan sisa pepejal itu sebenarnya sama sekali tidak pernah mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) pada 29 Ogos 2013.

“Pada tahun 2013, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) ada mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kelulusan EIA bagi tapak pelupusan sanitari melibatkan kira-kira 50.65 hektar.

“Tetapi JAS (Jabatan Alam Sekitar) tidak meluluskan permohonan laporan EIA itu. Apa yang mendukacitakan MPM masih meneruskan operasi seperti yang dilihat sekarang ini,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Sehubungan itu, beliau menegaskan JAS boleh mengenakan tindakan terhadap MPM kerana sudah terang lagi bersuluh telah melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kalau mengikut peruntukan akta, JAS boleh ambil tindakan mengikut nilai tertentu dan kompaun dari hari ke hari kerana tidak mendapat kelulusan EIA.

“Sebaliknya, pembuangan sampah terus berlaku sehingga sekarang. Kalau kita lihat kemungkinan besar air sisa tidak dirawat sekali gus berlakunya proses “leachate” (air larut resap) hingga meracuni laut,” katanya.

Seksyen 34A (8) Akta 127 menyatakan “Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi 15,000 ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan denda tambahan sebanyak 1,000 ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas notis oleh Ketua Pengarah menghendakinya mematuhi tindakan yang dinyatakan di dalamnya telah disampaikan kepadanya.”

Air larut resap hasil timbunan sampah yang dibimbangi mengancam hidupan laut.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi KUASA, Noor Ismady Ahmad Radzuan memberitahu pihak MPM sebelum ini memaklumkan akan membangunkan projek pembinaan tapak pelupusan sampah baharu berkonsepkan sisa kepada tenaga (WTE).

Untuk rekod, projek yang akan dilaksanakan oleh syarikat swasta itu mengguna pakai kaedah sistem penapaian Anaerobic Digester bagi penghasilan biogas untuk menjana tenaga elektrik.

Bagaimanapun, kata Noor Ismady, pihak MPM dan kerajaan negeri difahamkan sedang menunggu keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Tapi sementara nak tunggu itu, lihatlah, sudah berapa banyak sisa tercemar mengalir masuk ke laut sekali gus mengancam hidupan air,” ujarnya.

Kurangkan sampah

Dalam masa sama, Noor Ismady berharap masyarakat berperanan menjayakan usaha kendiri mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dibuang setiap hari.

“Pihak PBT misalnya kena keluarkan data berapa banyak sampah dikutip setiap hari. Dari situ, boleh rangka langkah untuk sama-sama buat kempen kita kurangkan sampah.

“Masyarakat sendiri perlu ada kesedaran untuk kawal pembuangan sisa pepejal termasuk membudayakan kitar semula.

“Amalan seperti inilah akan mengurangkan kemasukan sampah ke pusat pelupusan sisa pepejal kemudian hari,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 22 November tahun lalu dimaklumkan bahawa kerajaan Perak melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) akan membangunkan projek pembinaan tapak pelupusan sampah baharu berkonsepkan WTE di Teluk Mengkudu, Segari.

Bantahan terhadap pembuangan sampah haram di kawasan itu juga disuarakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan SAM pada 6 Mei 2015 lagi dengan laporan telah dibuat kepada pihak JAS.

Noor Ismady memerhati tapak lama timbunan sampah di Teluk Mengkudu yang telah dikambus tanah.