Malaysia Dateline

Hutan Simpan Ulu Muda yang menjadi idaman ramai

Merujuk kepada urutan peristiwa semalam yang terjadi terhadap negeri Kedah telah menimbulkan pelbagai lagi persoalan yang harus di jawab. Bukan kebenaran atau kepentingan rakyat yang di fikirkan tetapi kepentingan pemerintah jadi keutamaan.

Di pihak penyokong mahu pun pemegang jawatan dalam Kerajaan PN pula selaku parti yang sedang memerintah sekarang bertegang urat seolah tiada jalan penyelesaian lain melainkan balak Kedah wajib di tebang. Atau ada udang di sebalik batu?

Saya sekali lagi ingin mengeret pembaca sekalian untuk terus memahami isi cerita pembalakan Kedah. Apa pun tuntutan taukeh-taukeh balak, perlukah balak Kedah di tebang untuk menyelesaikan masalah? Kenapa Menteri Kedah amat lunak dengan tuntutan taukeh balak?

Tidak timbul kawasan pembalakan yang baru atau yang lama. Soalannya kenapa tiada jalan penyelesaian yang lain? Kenapa balak harus juga di tebang?

Terhimpit sangatkah kerajaan negeri sekarang sehingga di lihat tiada jalan pintu keluar yang lain. Kedah seolah sudah kehilangan bijak pandai untuk berfikir di luar kotak selain dari penebangan balak.

Banyak lagi perkara yang boleh di ikhtiarkan dan di fikirkan tetapi balak juga yang di fikirkan.

FAKTA SERTA KRONOLOGI:

1. Pada bulan Mac 2019, kerajaan PH tahun lalu telah membatalkan kesemua konsesi balak di Hutan Simpan Ulu Muda(HSUM) bertujuan memelihara khazanah alam, walaupun terpaksa kehilangan hasil puluhan juta melalui aktiviti pembalakan.

2. Kerajaan Kedah telah membuat penjelasan serta permohonan kepada kerajaan persekutuan untuk mendapatkan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan persekutuan melalui Bajet 2019 berkaitan dengan memberikan pampasan kepada kerajaan negeri yang telah membuat keputusan tidak lagi atau mengurangkan aktiviti pembalakan untuk tujuan menjaga bekalan air dan pelbagai kepentingan yang lain.

3. Berhubung hansard yang di keluarkan 15.11.2018 ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah hanya RM187Juta(hampir RM200 Juta) ialah pembayaran premium syarikat pembalakan kepada kerajaan negeri hasil pendapatan terkumpul bermula tahun 2000.

Manakala angka RM 800 Juta ialah tuntutan yang tidak masuk akal di atas kerugian mereka yang di campur sebagai jumlah keseluruhan tuntutan. Malangnya tidak di layan oleh kerajaan DSUM.

Anehnya secara tiba-tiba Kerajaan PN pada ketika ini tunduk kepada tuntutan yang tidak munasabah taukeh-taukeh balak?

4. Mantan Menteri Besar Datuk Seri Utama Mukhriz(DSUM) pada ketika itu telah membangkitkan mengenai pampasan di dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang di pengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan hampir mencapai matlamatnya.

5. Untuk makluman, HSUM membekalkan kira-kira 96% air mentah untuk Kedah, 70% untuk Perlis dan lebih 80% kepada Pulau Pinang bagi tujuan kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian.

6. Ini melibatkan 27 Pertubuhan Peladang Kawasan(PPK) dan hasil penanaman padi berjumlah RM 1.4 Billion pendapatan pesawah di seluruh Kedah dan Perlis. Penghasilan 40% daripada beras negara dari jumlah keseluruhan 70%. Pihak mana yang harus di ambil kira? Taukeh-taukeh balak atau pesawah?

7. Sawah/bendang boleh terancam kerana sumber air dari hutan itu kini digunakan bagi pengairan 96,558 hektar sawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

8. Jika sumber air dari HSUM tergugat, bagaimana kita mahu memastikan pengairan sawah tidak terganggu pada masa depan, sedangkan kita tahu peranan Ulu Muda menyumbang kepada jaminan keselamatan makanan melalui industri padi.

9. Saya pernah mencadangkan kerajaan mewartakan keseluruhan kawasan HSUM yang menempatkan empat empangan penting, iaitu Empangan Pedu, Muda, Ahning dan Beris sebagai Taman Negeri/Negara bersifat kekal dan tiada siapa pun boleh menyentuh kawasan itu meskipun berlaku pertukaran kepemimpinan atau kerajaan negeri.

10. Saya pernah bersependapat dengan DSUM untuk mempromosikan HSUM seperti Borneo sebagai tempat pelancongan dan Research Centre (Kajian Flora Fauna di dalam Hutan) di Peta Dunia. Seperti contoh:

i. Danum Valley, Sabah
ii. Maliau Basin, Sabah

11. United Nation Development Program (UNDP), World Wildlife Fund (WWF), Malaysia Nature Society (MNS) terlibat dengan agensi kerajaan untuk usaha perlindungan alam sekitar khususnya di HSUM pernah dokumentarikan oleh National Geograhic

12. Perancangan jangka panjang dalam bidang Pelancongan dan Kajian Hutan menjadikan Ulu Muda sebagai Wild Life dan National Park dan State Park untuk digazetkan dalam Enakmen Kerajaan Negeri Kedah di masa hadapan.

13. HSUM merangkumi kawasan seluas 100,000 hektar di sekitar kawasan hutan Ulu Muda dan kaya dengan hidupan flora dan fauna dengan lebih 100 spesies mamalia dan 50 spesies reptilia.

14. Kesemua yang apa yang saya perkatakan di atas tidak hanya tertakluk kepada HSUM malah melibatkan semua hutan simpan di seluruh negeri Kedah.

15. Mohon pertimbangan sewajarnya oleh rakyat Kedah dan pemimpin Negeri Kedah mahupun Negara.

————————–

Penulis adalah Adun Kubang Rotan yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah.