Hutang 1MDB boleh perintah Johor 34 tahun secara goyang kaki, kata Exco

Hutang 1MDB boleh perintah Johor 34 tahun secara goyang kaki, kata Exco

Exco Kerajaan Negeri Johor membayangkan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dianggarkan RM51 bilion boleh digunakan menguruskan kerajaan Negeri Johor selama 34 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Sr Dzulkefly Ahmad berkata, di bawah bajet 2020 kerajaan negeri memerlukan hanya RM1.5bilion setahun untuk menguruskan rakyat Johor sejumlah 3.2 juta orang penduduk.

“Jika RM51bilion dibahagikan denganRM1.5bilion bermakna kita boleh perintah negeri Johor selama 34 tahun secara goyang kaki…punya banyak ke tak banyak tu?

“Oleh itu beri masa kepada Pakatan Harapan khusunya di peringkat persekutuan untuk laksanakan manifesto.

“Ini kerana ketika PH jadi kerajaan hutang ditinggalkan (BN) sebanyak RM40bilion jadi sekarang dalam proses penyelarasan diperingkat persekutuan sedang dilaksanakan,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah di di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peradin di Kukup malam tadi.

Katanya hutang dan liabiliti 1MDB (termasuk faedah) pada masa ini ialah sebanyak RM51 bilion.

Turut hadir Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub, Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad dan Presiden Gabem Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Dzulkefly yang juga Timbalan Amanah Johor itu turut berkata, kerajaan negeri Johor sudah melaksanakan 10 janji dalam 100 hari pada tahun pertama pemerintahan PH di negeri itu.

“Yang ini (tunai 10 janji) Umno-BN tak kongsi dengan kita.

“Kita sudah mansuhkan kontrak KMK (Kontrak Menegakkan Kerajaan) yang diagihkan 20 peratus rumah mampu milik di agihkan melalui komponen parti kerajaan ketika itu BN.

“Kesemua 20 peratus tidak sampai kepada kumpulan sasaran. Sebaliknya ia sampai kepada ketua-ketua bahagian parti di bawah Umno-BN.

“Jadi tindakan pertama saya menjadi Exco ialah dengan memansuhkan kuota KMK itu yang merupakan kuota politik.

“Kalau ikut kepentingan saya, menteri besar dan 10 exco juga orang politik seharusnya kita simpan kuota ini kerana ia beri kelebihan kepada kita (orang politik),tetapi demi rakyat dan bangsa Johor kita dapati kuota KMK sarat penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan.

“Oleh itu kita kembalikan semula kepada kuota awam untuk dirunding semula demi kepentingan rakyat, itu yang telah kita buat,” ujarnya.