Malaysia Dateline

Johari Abdul Ghani

Menteri dakwa 1MDB selesaikan hutang IPIC, kerajaan tidak campur tangan

Kerajaan tidak akan campur tangan dalam urusan membabitkan pembayaran antara syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan firma pelaburan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC).

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata penyelesaian berkaitan pembayaran berkenaan wajar diuruskan ahli lembaga pengarah 1MDB bersama pihak IPIC.

“Ini hal syarikat, jika mereka mampu bayar, kita tunggu saja mereka bayar. Hal syarikat biar syarikat uruskan, biar ahli lembaga pengarah uruskan.

“Jika sampai peringkat syarikat ini tidak dapat uruskan, kita akan bincangkan mengenainya.

“Kita tidak bantu jika orang itu tidak datang kepada kita dan setakat ini, mereka tidak datang ke Kementerian Kewangan, maka kita tidak akan masuk campur buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018: Mengurus Kos Membuat Perniagaan di Putrajaya hari ini seperti dilaporkan BHonline..

Semalam, 1MDB gagal membuat bayaran RM2.58 bilion kepada IPIC seperti dipersetujui dalam perjanjian penyelesaian April lalu.

1MDB menjelaskan ia tidak dapat memenuhi tuntutan pembayaran kerana dana yang sepatutnya diterima pada Julai ditangguhkan hingga Ogos.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham London semalam, IPIC berkata, 1MDB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) mempunyai lima hari untuk ‘memulihkan’ kegagalan pembayaran itu.

Johari berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan negara terus maju dan ekonomi berkembang dengan baik.